Meskipun dihina ‘otak duduk dilutut’, Asyraf ajar Zafrul 3 strategi paksa bank laksana moratorium

Putrajaya boleh mengarahkan bank memberikan moratorium pinjaman melalui Akta Bank Negara Malaysia 2009, kata Pemuda Umno.
Ketuanya, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya kecewa dengan alasan “simplistic” Menteri Kewangan konon kerajaan tidak boleh mengarah bank untuk memberikan moratorium automatik kerana tiada kuasa.
Katanya, Seksyen 72 Akta Bank Negara secara jelas memberikan peruntukan kuasa kepada kerajaan untuk membatalkan sebarang keputusan yang dibuat Bank Negara (BNM).
“BNM sebagai pelaksana dasar perlu patuh kepada sebarang arahan menteri bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Akta Bank Negara adalah antara tiga cara yang boleh digunakan Kementerian Kewangan dalam menawarkan moratorium automatik.
Katanya, dua cara lagi adalah melalui Seksyen 6 dan 7 dalam Akta Perkhidmatan Kewangan dan Ordinan Darurat.
“Seksyen 6 dan 7 dalam Akta Perkhidmatan Kewangan memberikan peruntukan kuasa yang jelas untuk Menteri Kewangan mengarahkan BNM berkenaan dasar-dasar yang berkaitan dalam kewangan dan perbankan.
“Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 pula memberikan kerajaan kuasa penuh untuk mengadakan sebarang peraturan baharu mahupun mengatasi (overule) sebarang undang-undang bertulis sedia ada demi mencapai matlamat proklamasi darurat,” katanya.
Beliau berkata, hakikatnya, tanpa Ordinan Darurat pun, dua undang-undang sedia ada memperuntukkan kuasa Menteri Kewangan yang amat besar sehingga boleh mengarahkan mahupun mengatasi sebarang keputusan BNM apatah lagi bank-bank komersial.
Semalam, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan tidak mempunyai kuasa perundangan untuk menentukan apa yang dapat disediakan oleh moratorium bank atau bagaimana ia dilaksanakan.
Katanya, moratorium itu adalah hasil perbincangan antara BNM dan bank-bank.
Zafrul berkata demikian ketika mengulas mengapa moratorium tidak diberikan kepada semua dan secara automatik, seperti yang dilakukan pada PKP pertama.
Asyraf berkata, selain kuasa yang diperuntukan oleh undang-undang bertulis, kerajaan juga boleh menggunakan kuasa melalui pegangan saham yang dimiliki dalam bank-bank utama.
“Justeru, Pemuda Umno menyarankan kerajaan memanfaatkan sepenuhnya kuasa yang ada sebagaimana yang dinyatakan untuk mengarahkan bank-bank yang ternyata mencatat keuntungan mencecah berbilion ringgit hanya pada suku tahun pertama 2021 sahaja.
“Bank perlu untuk menawarkan moratorium secara automatik kepada rakyat tanpa caj atau faedah tambahan selama tiga bulan dan tidak terhad kepada hanya golongan B40,” katanya.