Muhyiddin muka tak malu, hakikatnya penjawat awam dipaksa menyumbang bukannya rela hati
Pemotongan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) perlu dibuat secara sukarela mengikut kemampuan seseorang penjawat awam.
Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, kerajaan tidak boleh membuat pemotongan berkenaan mengikut kadar ditetapkan berikutan tanggungan bagi seseorang penjawat awam adalah berbeza.
Beliau berkata, kos sara hidup yang tidak menentu sewaktu serangan pandemik ini juga tidak memberi jaminan bahawa gaji diraih penjawat awam pada masa kini adalah mencukupi.
“Gaji penjawat awam bagi gred 56 sehingga 29 tidak perlu ditetapkan kadar sebegitu seolah-olah mereka dipaksa untuk menyumbang buat Akaun Amanah Bencana,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, lebih 800,000 penjawat awam bermula dari Gred 29 sehingga Jusa A dan ke atas diwajibkan memberi sumbangan antara RM10 dan 50 peratus daripada ITK dan ITKA.
Katanya, hasil sumbangan tetap selama tiga bulan itu dianggar berjumlah lebih RM30 juta dan akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana.
Dalam pada itu, Abdullah yang juga jurucakap Pekerjaan dan Hak Pekerja Parlimen PKR berkata, sekiranya kerajaan melaksanakan pemotongan itu secara sukarela, pihaknya yakin jumlah kutipan yang bakal diraih bagi sumbangan akaun itu adalah melebihi RM30 juta.
“Selain itu, saya turut mencadangkan agar pemain industri perkilangan yang dibenarkan beroperasi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini untuk turut dipelawa bagi melakukan sumbangan tersebut,” katanya.