Muhyiddin tak jadi lantik Peja TPM?
Desas-desus mengatakan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak sebenarnya tidak berasas.
Menurut sumber dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), ADUN Chenderiang itu tidak akan diserapkan ke dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN) selepas meletakkan jawatannya, Sabtu lalu.
“Peja (Ahmad Faizal) tak akan ke (kerajaan) Persekutuan. (Sebaliknya) Peja akan jelajah satu Malaysia untuk bantu Bersatu berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15),” katanya sumber kepada MalaysiaGazette hari ini.
Pada Sabtu lalu, Ahmad Faizal secara berseloroh mengatakan ‘jumpa di Seri Setia’ selepas mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar Perak bersama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Seri Satria merupakan kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri yang terletak di Putrajaya.
Perkara itu seolah-olah berasas apabila wujud poster di media sosial dengan ucapan tahniah kepada Ahmad Faizal di atas pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri yang menggunakan nama Armada Bukit Gelugor.
Dalam perkembangan sama, sumber turut memaklumkan Bersatu tidak akan menyokong mana-mana ADUN dari UMNO sebagai pengganti Ahmad Faizal.
“Bersatu buat masa inj tidak akan beri sokongan kepada UMNO untuk tubuh kerajaan negeri,” katanya lagi.
Sumber: https://malaysiagazette.com/2020/12/07/peja-tak-pergi-persekutuan-bantu-bersatu-kempen-pru-15/