Mula disalur pada 5 April, rupanya ini punca kerajaan setuju beri Bantuan Khas Aidilfitri

Mula disalur pada 5 April, rupanya ini punca kerajaan setuju beri Bantuan Khas Aidilfitri

 

Kerajaan akhirnya bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak.

Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut memaklumkan inisiatif berjumlah RM500 tersebut akan mula dibayar pada 5 April ini.

Golongan pesara berpencen dan tidak berpencen turut menerima manfaat daripada pengumuman ini di mana mereka akan menerima bantuan kewangan bernilai RM250.

Difahamkan, Anwar yang juga Menteri Kewangan telah memaklumkan kepada Perbendaharaan agar bantuan diserahkan Jumaat ini, lapor FMT.

Jelas Ahli Parlimen Tambun itu, bantuan khas tersebut diberi susulan maklum balas diterima dari penjawat awam ketika kunjungannya ke beberapa negeri baru-baru ini.

“Apabila saya jumpa penjawat awam semalam, (mereka) tanya macam mana bonus (raya)? Ada yang malu-malu kata tidak mengapa, saya faham Datuk Seri. Seorang lagi kata (bantuan akhir Februari lalu) sudah habis belanja.

“Semalam di negeri Sarawak dan petang ini pula ke Perlis. Tetapi semua tempat saya lihat penjawat awam masih mengeluh. Saya belum beritahu KSN (Ketua Setiausaha Negara) lagi ini (pemberian bonus raya).

“Sebab dia (KSN) nak sebut pun segan kerana saya jawab RM2,000 yang diberikan sudah cukup. Jadi mereka pun diam, tetapi dalam hati itu saya tengok berdegup,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut mengumumkan pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 yang akan mula diagihkan kepada penerima pada Rabu ini.

Pada masa yang masa, Anwar memohon agar penjawat awam memberi penjelasan kepada rakyat mengenai inisiatif dan bantuan bagi mengurangkan kritikan terhadap kerajaan.

“Soal kritikan biasalah, politik saya pun faham. Tetapi untuk mengatakan kita tidak faham (dan) tidak prihatin itu tidak betul. Jadi saya minta saudara-saudari jelaskan.

“Walaupun penjawat awam tak semestinya campur arus politik, tapi ini soal dasar kerajaan dan (perlu sampaikan) fakta, kalau tidak seolah-olah kita tak buat apa,” jelasnya.

Terdahulu, kerajaan telah menyalurkan bayaran insentif awal kajian sistem saraan perkhidmatan awam yang berjumlah RM2,000 pada 23 Februari kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah, termasuk lantikan kontrak.