Nak masak daging korban? Ini 10 cara untuk pastikan daging lembut apabila dimasak
Tidak tahu ingin masak apa dengan daging korban? Selain sedekah kepada yang memerlukan, jika terdapat daging berlebihan anda boleh cuba masak pelbagai sajian enak.
Selalunya daging korban enak dimasak sup, bamiah dan kari kerana rasa daging yang baru disembelih ternyata lebih manis dan enak.
Namun apa sahaja masakan yang ingin dicuba, jika daging tidak dimasak atau direbus dengan betul, isinya akan menjadi liat dan boleh putus selera untuk menjamu selera.
Bagi yang mempunyai masalah gigi pula ia pasti akan mengundang sakit gigi.
Dalam zaman yang serba canggih ini terdapat pelbagai cara untuk mempercepatkan daging empuk. Antaranya, dengan menggunakan pressure cooker.
Tapi tidak semua rumah yang memiliki periuk ini. Kadang-kadang, jika teringin untuk masak dalam jumlah kecil, ramai juga yang pasti malas untuk menggunakan periuk ini.
Selain menggunakan pressure cooker, terdapat pelbagai cara lain untuk melembutkan daging.
Terdapat pelbagai petua dan tip turun-temurun orang dulu yang masih lagi diamalkan ramai kerana terbukti keberkesanannya.
10 CARA LEMBUTKAN DAGING
Cuka
Sumber asid didapati boleh melembutkan daging dalam masa yang singkat. Ambil sedikit cuka makan dan campurkan ke dalam rebusan atau lumurkan pada daging, kemudian perap untuk beberapa jam sebelum di masak.
Limau nipis dan lemon
Kedua-dua buah ini pasti ada di dalam peti sejuk anda. Selain cuka, limau nipis dan lemon juga merupakan sumber asid yang dapat membantu melembutkan daging dalam masa yang singkat.
Mudah, anda hanya perlu perahkan jusnya ke dalam rebusan atau perapkan pada daging untuk semalaman atau selang beberapa jam sebelum masak.
Sudu
Cara ini rasanya pelik tapi menurut pakar masak, inilah antara cara atau petua mudah untuk melembutkan daging. Ambil sebatang sudu atau garfu dan letakkan ke dalam periuk semasa rebus daging.
Hasilnya daging mudah dan cepat lembut sebab dipercayai sudu dapat tingkatkan suhu dalam periuk. Selain sudu besi atau tembaga, ada juga yang menggunakan sudu porselin atau kaca.
Daun nangka
Jika boleh mendapatkan daun nangka, keringkan getahnya. Kemudian ambil anggaran 4 – 6 helai daun dan masukkan ke dalam masakan. Ia dapat membantu melembutkan daging.
Betik muda
Potong buah betik muda saiz kecil dan rebus sekali dengan daging. Jika tiada betik muda, anda boleh cuba gunakan batang betik.
Baking soda
Berbilang kegunaan, baking soda juga merupakan antara bahan yang dapat membantu untuk melembutkan daging dengan cepat, lebih kurang 15 minit.
Lumurkannya pada daging dan setelah daging lembut, pastikan untuk bilas bersih sebelum dimasak.
Kurma
Bukan sahaja isinya, biji kurma juga merupakan antara bahan yang dapat membantu untuk melembutkan daging.
Ambil anggaran 3-5 biji kurma dan masukkan ke dalam daging yang sedang dimasak atau direbus.
Hasilnya, daging cepat lembut selain ia menjadi pemanis lauk pauk semula jadi.
Jika anda tidak gemar rasa manisan kurma dalam masakan, anda juga boleh gunakan bijinya sahaja.
Gula Batu
Satu lagi cara yang didapati berkesan untuk melembutkan daging adalah dengan menggunakan gula batu.
Masukkan beberapa ketul gula batu ke dalam rebusan daging, ia menjimatkan masa untuk lembutkan daging.
Garam
Inilah antara cara yang paling mudah untuk melembutkan daging.
Caranya mudah, perapkan daging dengan garam untuk beberapa jam.
Cara ini juga berkesan kerana garam mampu memecahkan fiber otot yang keras.
Cara rebus daging
Ini merupakan cara paling asas.
Selalunya daging direbus dalam potongan yang sederhana besar.
Elak daripada rebus isi atau ketulan daging yang saiznya terlalu besar.
Setelah daging empuk, baru boleh potong mengikut saiz yang diingini dan masak.
CARA POTONG DAGING
Sebaik-baiknya daging harus dipotong ketika ia separuh beku. Anda boleh membekukan daging dalam peti sejuk bahagian beku anggaran 60 hingga 90 minit.
Tahukah anda, daging separuh beku adalah lebih mudah untuk dipotong kerana teksturya yang separuh keras.
Agar daging tidak liat, cara memotongnya juga memainkan peranan yang penting.
Pastikan daging dipotong atau dihiris berlawan atau melintang dengan uratnya.
Semasa daging diletakkan di papan pemotong, pastikan untuk kenal pasti urat daging dan potong atau hiris dari arah yang berlawan.
Cara potongnya juga berbeza-beza mengikut bahagian daging yang ingin dipotong.
Daging batang pinang atau tenderloin contohnya tampil dalam saiz yang lebih besar.
Penting untuk memotong atau menanggalkan bahagian yang berlemak.
Ada kalanya proses ini agak sukar dan anda memerlukan pisau yang tajam.
Pastikan lemak pada daging batang pinang dapat ditanggalkan dan barulah rasa sup tulang yang dimasak lebih enak.
Bagi yang gemar daging bahagian tulang rusuk pula, selalunya saiznya adalah lebih besar atau lebar daripada batang pinang.
Ada bahagian yang mempunyai tulang dan ada yang sudah diasingkan.
Cara memotong daging jenis ini ialah dengan membuang bahagian lemak di tepi.
Selepas itu potong dua bahagian dan barulah dihiris saiz yang lebih kecil mengikut citarasa anda.
Akhir sekali, semasa daging sedang dimasak atau direbus, pastikan untuk menutup periuk.
Cara ini dapat membantu untuk mempercepatkan daging cepat empuk dan lembut.
Selamat mencuba!