Ngeri! Lelaki naiki motosikal maut terperosok bawah kereta

Ngeri! Lelaki naiki motosikal maut terperosok bawah kereta

 

Seorang lelaki warga Pakistan maut terperosok bawah kereta selepas motosikal ditunggangi bersama rakan senegaranya terlibat kemalangan di Jalan Bypass Kota Tinggi di sini pada Isnin.

Kemalangan pada jam 1.15 tengah hari itu mengorbankan Rahman Hazrat, 31, manakala rakannya dikenali sebagai Altaf, 37, cedera ringan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam satu kenyataan memaklumkan, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.34 petang.

“Kemalangan ini membabitkan sebuah kereta Toyota Camry dan motosikal jenis Honda Wave ditunggang mangsa bersama rakannya.

“Pihak bomba mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mangsa yang berada bawah kereta dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan sebelum mayat diserahkan kepada polis,” menurut JBPM Johor dalam satu kenyataan.

JBPM Johor memberitahu, lelaki yang memandu kereta tersebut pula selamat dan operasi yang disertai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi itu selesai pada jam 4.22 petang.