Norlia Ghani kini jadi influencer TikTok, sehari boleh dapat sampai RM800

Norlia Ghani kini jadi influencer TikTok, sehari boleh dapat sampai RM800

 

Lebih setahun tidak mendapat tawaran berlakon dari mana-mana penerbit televisyen, artis veteran Norlia Ghani kini dikatakan mula bergiat sebagai seorang pempengaruh TikTok.

Pelakon berusia 75 tahun itu berkata, kali pertama dia bersiaran langsung di TikTok, dia peroleh 1 juta tanda suka sehinggakan satu hari itu dia boleh meraih sehingga RM800.

Atas sebab itu, Norlia atau mesra disapa ‘mama’ itu merasakan TikTok adalah medium terbaharu buatnya untuk mencari rezeki.

“Mama cuba ikut ‘trend’ agar tidak ketinggalan orang kata. Mama pun dah lama tak berlakon. Jarang dapat jumpa peminat. TikTok mengeratkan lagi silaturahim mama dengan peminat.

“Kali pertama mama bersiaran langsung terus dapat 1 juta tanda suka. Kadang-kadang ada peminat yang bagi ‘gift’. Biarpun mama tak pernah meminta. Pernah sehari mama dapat RM800.

“Mungkin inilah medium terbaru untuk mama mencari rezeki. Biarpun dapat RM100, mama dah bersyukur, sebab duduk di rumah sahaja,” katanya seperti dilapor Kosmo! ketika ditemui di majlis Dari Poket Artis Ke Poket Artis 2.0 baru-baru ini.

Ibu kepada pelakon Rusdi Ramli itu turut mengakui dia tidak dapat lari daripada komen-komen nista daripada netizen yang mengaitkan usia emasnya dengan aplikasi yang dimonopoli oleh Gen Z itu.

Katanya, dia bersiaran di platform itu bukan lagi untuk mengejar glamor kerana zaman itu sudah dikecapinya sejak tahun 1969 lagi.

“Biarpun ada komen-komen sinis yang mengatakan dah tua tua pun nak main TikTok. Pada mama tak ada masalah.

“Kalau mama nampak komen-komen toksik sebegitu lalu depan mata, mama buat-buat tak nampak sahaja. Tak perlu balas komen mereka.

“Lagipun mama main Tik Tok bukan untuk kejar glamor. Semua orang dah kenal siapa. Norlia Ghani sejak tahun 1969 lagi,” katanya lagi.