Padah bunuh teman wanita, ‘youtuber’ terkenal bakal ke tali gantung

Padah bunuh teman wanita, ‘youtuber’ terkenal bakal ke tali gantung

Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang juga teman wanitanya dalam kejadian awal bulan ini.

Tertuduh, Abdul Jamal Ahmad, 23, didakwa menyebabkan kematian Nur Diyanah Haris, 21, di sebuah rumah di No. 12A, Lintang Kampung Masjid, Teluk Kumbar di sini, antara pukul 9 pagi hingga 5 petang pada 3 April lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan tertuduh hanya mengangguk faham sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.

Abdul Jamal dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atikah Asharaf Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, mahkamah turut menetapkan 13 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula sementara menunggu laporan bedah siasat.

Polis sebelum ini mengesahkan menahan seorang pempengaruh Youtuber dan tiga rakannya bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang wanita yang cedera parah dipukul sebelum meninggal dunia dalam kejadian di Teluk Kumbar, di sini awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, empat lelaki berusia 23 hingga 28 tahun itu ditahan di sekitar Teluk Kumbar bagi membantu siasatan kes bunuh tersebut.

Jelas beliau, polis menerima laporan daripada seorang doktor di Hospital Balik Pulau (HBP) di sini yang memaklumkan seorang wanita berusia 20 tahun dibawa ke hospital itu selepas tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal.

Pemeriksaan ke atas mangsa yang juga seorang pempengaruh Youtuber itu mendapati terdapat kesan lebam di kepala dan seluruh tubuhnya sebelum wanita itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut namun meninggal dunia pada 3 April ketika menerima rawatan.