Panas!!! Hadi sokong Hishamuddin jumpa China, dakwa negara barat tak boleh harap
Negara-negara barat tidak layak menjadi penyelesai kepada permasalahan sekiranya timbul masalah di rantau Asia.
Sebaliknya, negara-negara serantau ini perlu menyelesaikan masalah sendiri melalui pakatan kerjasama setempat, kata Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau menyifatkan negara barat hanya mementingkan diri sendiri dan tidak boleh diharapkan.
“Pengalaman campur tangan secara langsung oleh kuasa besar itu di Iraq, Afghanistan dan beberapa buah negara Afrika sepatutnya menjadi pengajaran untuk kita memahami tujuan sebenar AS yang hanya menjaga kepentingannya sahaja.
“Apabila mereka menemui kegagalan, negara yang menjadi pangkalan AS ditinggalkan bagi menyelamatkan diri. Adapun tuan rumah yang menjadi pangkalannya pula menjadi mangsa, laksana pelanduk yang mati di celah gajah yang sedang berlawan,” katanya menerusi Minda Presiden Pas yang disiarkan di Facebook beliau hari ini.
Abdul Hadi mengulas mengenai pembentukan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai AUKUS.
Beliau yang juga Duta Khas ke Asia Tengah berkata, oleh itu wajar bagi Malaysia meminta penjelasan China mengenai perjanjian pembelian kapal selam berkuasa nuklear.
Ini kerana keutamaan dalam hubungan antarabangsa adalah melihat terlebih dahulu sikap negara serantau yang terdekat, bukannya merangkak ke negara yang jauh merentasi lautan dan benua.
Beliau menjelaskan, Malaysia perlu berhati-hati kerana negara barat boleh mengubah strategi dengan mengadakan pakatan baharu bernama AUKUS itu.
“Langkah ini diambil kerana kita tidak boleh mengulangi sekali lagi sejarah tanah air ini menjadi pangkalan kepada negara asing yang medan peperangan, demi keselamatan dan keamanan mereka.
“Jangan sekali lagi kita mengulangi sejarah perang dunia yang menunjukkan mangsa daripada negara yang menjadi medan berlakunya peperangan itu lebih besar angka korbannya daripada jumlah korban bala tentera penjajah yang datang,” tambahnya.
Kata beliau, Malaysia tidak boleh menjadi perisai pertahanan kepada mana-mana kuasa besar yang sering kali mencari negara lain untuk membina pangkalan yang jauh dari negaranya, semata-mata bagi menjaga keselamatan mereka tanpa mempedulikan negara lain.
Tambahnya, pakatan yang diadakan itu menunjukkan kerakusan pihak terbabit dengan meletakkan seluruh dunia berada di bawah kawalannya sehingga merangkumi ke Lautan Pasifik dan Lautan Hindi.
Di samping itu kata Abdul Hadi, mereka juga membawa segala senjata pemusnah yang akan memusnahkan manusia dan alam sekitar.
“Oleh itu, negara serantau perlu bergabung tenaga bagi menghadapi cabaran ini sebelum ditimpa padah yang akan menjadi suatu bencana kelak.
“Kerjasama keamanan dan perdamaian patut diutamakan, bukannya kerjasama ketenteraan yang bertujuan menegangkan keadaan dan memanaskan hubungan antarabangsa, sehingga akhirnya boleh menyebabkan terbakar hangus,” katanya.
Sumber – MalaysiaGazette