Panas!!! Najib dedah kos naik taraf Seri Perdana dilulus Muhyiddin jauh lebih mahal berbanding kos pembinaannya
Najib Razak mengkritik Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kerana memulakan pengubahsuaian Seri Perdana ketika menjadi perdana menteri, di tengah penularan wabak Covid-19.
Kerja pengubahsuaian kediaman rasmi perdana menteri itu bermula pada Mac lalu, sebulan sebelum Muhyiddin menyatakan kerajaan “sudah tiada banyak wang” ekoran peruntukan yang dikeluarkan untuk menangani wabak itu.
“Wang sebanyak RM38.5 juta tidak patut dibelanjakan untuk tujuan ini pada zaman pandemik sebab ia tidak sensitif kepada rakyat yang sedang merayu untuk lebih banyak bantuan disalurkan akibat PKP berterusan.
“Lebih-lebih lagi sebab ia dibelanjakan pada ketika perdana menteri sendiri kata kerajaan dah tak ada banyak wang lagi setelah kerajaan PN dahulu berbelanja RM600 bilion,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Najib yang juga bekas perdana menteri juga mempersoalkan bagaimana kerajaan tiada wang untuk membantu rakyat tapi boleh membuat ubah suai di Seri Perdana.
“Malah kos ubah suai sebanyak RM38.5 juta ini adalah jauh lebih tinggi bandingkan kos pembinaan RM24.17 juta pada tahun 2000,” katanya lagi.
Pada 12 April lalu, Muhyiddin ketika bertemu masyarakat Sikh sempena perayaan Vaisakhi di Petaling Jaya, Selangor berkongsi tentang keadaan kewangan negara.
“Sudah banyak kita belanjakan wang tahun ni, tahun lepas. Apa sebab? Covid-19. RM340 bilion untuk pakej-pakej rangsangan, RM322 bilion untuk belanjawan.
“Saya pergi sekolah tapi saya tak pandai kira how much is that, saya fikir banyak orang Sikh faham, it is more than RM600 billion, that’s big sum of money (ia lebih daripada RM600 bilion, jumlah yang sangat besar).
“What i am trying to say here, we don’t have much money left (Apa yang saya cuba nak sampaikan di sini, kita tak banyak wang lagi yang tinggal),” katanya ketika itu.
Muhyiddin letak jawatan sebagai perdana menteri pada 16 Ogos selepas hilang majoriti di Dewan Rakyat ekoran tindakan 15 ahli parlimen Umno – termasuk Najib – yang menarik balik sokongan mereka.
Dia digantikan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob, yang mengekalkan sokongan terhadap Muhyiddin pada masa itu.
Ismail Sabri mengekalkan sebahagian besar barisan menteri lantikan Muhyiddin dan presiden Bersatu itu juga dilantik menjadi pengerusi Majlis Pemulihan Negara.
Sumber – Malaysiakini