Panas!! Najib sekolahkan ketua pemuda Bersatu
Pemulihan ekonomi tidak semudah mencetak wang dan mengagihkan wang dicetak, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, Bank Negara Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan peranannya secara berhemah.
“Bank negara perlu buat secara berhemah. Kita tak boleh mencetak duit, kalau tidak nanti duit kita tidak ada nilai.
“Jadi perkara ini bukan semudah itu. Perlu amalkan cara yang bertanggungjawab dan berhemah,” katanya pada Program Sinar Live bertajuk Apa Kisah Belanjawan 2021 hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas cadangan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal supaya Bank Negara mencetak lebih banyak wang kertas untuk diagihkan kepada rakyat untuk dibelanjakan.
Dalam pada itu, ditanya mengenai syor oleh Tun Dr Mahathir Mohamad agar kerajaan melaksanakan pemotongan peruntukan bagi barisan kabinet dan penghentian projek berskala besar, Najib menyifatkan ia sebagai idea yang tidak akan memberi kesan kepada peningkatan ekonomi.
Katanya, pengurangan perbelanjaan kerajaan akan menyebabkan ekonomi negara kian lemah dan menguncup.
“Yang patut dilakukan adalah bagaimana merangsang ekonomi. Projek-projek besar yang produktif dan tidak menggunakan peruntukan kerajaan secara langsung perlu disegerakan kerana ada suntikan ekonomi. Saya tekankan agar sebahagian projek diberikan kepada kontraktor Kelas F secara telus dengan undian kerana kumpulan ini dalam keadaan memerlukan.
“Seperti mana Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang kini Bantuan Sara Hidup (BSH) diperkenalkan bertujuan untuk memangkin permintaan tempatan.
“Bila rakyat ada permintaan jadi ada kedai, kedai akan maju, pasar malam dan sebagainya. Jadi ia menjadi satu putaran dalam sistem ekonomi kita,” katanya.
Sumber: Sinar Harian