Pas curang dengan janda Umno, tegas Tok Mat
UMNO sukar bekerjasama dengan PAS kerana parti itu tidak pernah setia atau ikhlas, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Katanya, parti itu juga tanpa segan berselingkuh atau curang dengan parti serpihan UMNO.
“Tanpa segan, mereka berselingkuh dengan semua parti, terutamanya ‘si janda’ UMNO.
“Lihat sahaja rekod mereka, dengan DAP dan PKR. Akhirnya, semua membawa haluan masing-masing,” katanya berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, malam ini.
Mohamad berkata, UMNO merasakan perlukan langkah yang lebih lestari dan konkrit berdasarkan pengalaman bekerjasama secara ‘marriage of convenience’ dengan PAS sejak Langkah Sheraton.
“Kita juga merasakan sudah tiba masanya, untuk kita tidak terbelenggu dengan ideologi parti tertentu, dalam saat paling kritikal untuk Malaysia.
“Yang penting kepada kita ialah memberi fokus kepada ‘governing’ (pentadbiran). Keutamaan UMNO ialah kestabilan politik Malaysia, dan bukannya ideologi politik rakan kerjasama kita, dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.