Patut la sedap, ini resipi sos merah sengkuang calit ori dari penjual sendiri
Suka makan Sengkuang Calit yang ada sos merah sedap tu? Ia adalah salah satu snek kanak-kanak zaman 80an & 90an yang masih digemari hingga kini.
Sekarang, masih ada yang menjual Sengkuang Calit ini namun kadang-kadang rasa sosnya berbeza. Tak sama macam zaman-zaman dulu.
Menerusi perkongsian Dr Kamarul Ariffin Nor Sadam, beliau berkongsi resipi Sos Merah Sengkuang Calit yang sedap dan ori macam dulu-dulu. Resipi ini sebenarnya diperolehi dari seorng peniaga Sengkuang Calit yang telah 40 tahun meniaga snek ini.
Namun sekarang beliau sudah tidak larat untuk meneruskan perniagaannya. Oleh itu beliau bermurah hati untuk berkongsi resipi agar ianya tidak hilang dek zaman.
Makan sos ni bersama sengkuang sejuk, memang nikmat tak terkata. Tabur pula kacang tumbuk banyak-banyak. Wallah. Sedapnya. Jom cuba!
RESIPI SOS MERAH SENGKUANG CALIT YANG SEDAP & ASLI
BAHAN-BAHAN: (DAPAT 1 CAWAN SOS)
- 1 biji sengkuang
- 2 sudu besar minyak bijan
- 2 sudu kecil tepung jagung
- 1 mangkuk kecil kacang tanah
- Air secukupnya
BAHAN ASAS SOS:
- 4 sudu besar taucu manis (masin pun OK)
- 8 sudu besar gula Melaka
- ½ sudu kecil cili boh
- ½ sudu kecil pes asam jawa
CARA MEMASAK:
1.Kupas kulit sengkuang dan hiris dengan ketebalan 1.52cm. Kena tepat tau! Baru jadi.
Dah siap potong, letak dalam bekas kegemaran dan biarkan dalam peti ais. Biarkan dan buat sos.
2.Ini bahan asas untuk buat sos merah sengkuang calit. Taucu manis, gula melaka, pes asam jawa dan sedikit cili boh.
3.Masukkan bahan asas dalam pengisar makanan, letak minyak bijan dan sedikit air. Kemudian kisar sampai halus. Dr Kamarul ada letak sedikit pewarna merah. Kalau resepi asli, taucu tu patutnya yang ditapaikan dengan beras yis merah. Tapi susah nak cari taucu tu.
4.Bila sudah kisar, masuk dalam periuk paling kecil. Renehkan sampai cili boh tadi masak. Kalau tak masak cili tu, sos akan jadi pahit.
5.Rasa sos, jika rasanya masin sahaja dan kurang manis, boleh tambah sedikit madu. Lebih baik berbanding tambah gula.
6.Bila sudah masak, tuang bancuhan tepung jagung untuk memekatkan sos. Penting supaya sos melekat elok bila sapu pada sengkuang dan tidak cair.
7.Sos yang berkilat dan likat. Semakin sejuk, sos akan semakin kental. Boleh rasa sos dan ubahsuai kemasinan, kemasaman, dan kemanisan sos ikut selera masing-masing. Kalau nak rasa lebih kekacangan, tambah lagi minyak bijan.
8.Bila sos telah sejuk, masukkan dalam mason jar atau bekas bersesuaian.
9.Sapu sos atas hirisan sengkuang yang disejukkan tadi.
10.Tabur kacang tanah yang disangai dan ditumbuk. Sedia untuk dinikmati.