Pejuang umum hasrat bertanding 120 kerusi parlimen PRU-15 nanti

Pejuang umum hasrat bertanding 120 kerusi parlimen PRU-15 nanti

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyasarkan untuk bertanding hingga 120 kerusi parlimen pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan datang, menurut pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad.

“Kita mahu bertanding banyak kerusi, mungkin sampai 120 kerusi (parlimen),” kata Mahathir dalam wawancara dengan portal dalam talian The Malaysian Insight.

Bekas perdana menteri itu bagaimanapun tidak memberi perincian lanjut selain mengatakan semua calon adalah Melayu memandangkan parti Pejuang adalah parti Melayu.

“Tapi kita harap orang bukan Melayu pun akan sokong. Dulu pun dalam Umno, saya dapat banyak sokongan daripada orang Cina, India.

“Jika kita jadi kerajaan yang baik, orang akan sokong,” kata Mahathir.

Mahathir memegang rekod menjadi perdana menteri paling lama berkhidmat di Malaysia ketika bersama Umno.

Mahathir telah meninggalkan Umno untuk membentuk Bersatu dan memenangi kerusi Parlimen Langkawi pada pilihan raya umum ke-14 yang lalu.

Dia kemudian dilantik sebagai perdana menteri di bawah pemerintahan Pakatan Harapan sehingga digulingkan oleh kerajaan Perikatan Nasional.

Mahathir meninggalkan Bersatu bersama beberapa ahli parlimen lain.

Selain Mahathir, Pejuang kini mempunyai tiga bekas anggota parlimen Bersatu – Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah dan Ahli Parlimen Sri Gading Shahruddin Md Salleh.

Berdasarkan PRU15, Mahathir meramalkan lebih banyak pertembungan lebih dari saru penjuru yang akan menimbulkan kesulitan bagi mana-mana gabungan politik untuk memperoleh majoriti sepenuhnya.

Sementara itu, Mahathir mengatakan Pejuang, yang secara rasmi terdaftar bulan lalu, tidak seperti parti lain.

Menurutnya, pemimpin parti itu tidak mempunyai sejarah terlibat dalam rasuah.

“Sebilangan besar ahli kami adalah wajah baru, muda dan tidak mempunyai rekod prestasi yang buruk,” katanya.

Sumber – Malaysiakini