Pelakon berang bibik sibuk bercinta hingga anak terabai, lepas ditegur siap doakan keluarga cepat mati
Kebanyakan individu mengambil pembantu rumah untuk meringankan urusan di rumah namun ada juga mengambil kesempatan.
Buat usahawan dan pelakon, Datin Thalia Baiduri mengakui terkilan apabila pembantu rumahnya bertindak mengabaikan anak bongsunya kerana sedang asyik bercinta.
Menurut Kosmo! Online Thalia menerusi siaran langsung di TikTok memaklumkan pembantu rumah dikenali sebagai Bibik Elly turut mendoakan mereka cepat mati hanya kerana ditegur.
“Saya tidak pernah mengesyaki apa-apa sebab dia baik di depan saya, bahkan tidak pernah tinggal solat Dhuha, namun semuanya terbongkar sebaik membaca mesejnya mengutuk kami.
“Bila saya tanya dia menafikan, tapi bukti jelas kami terima mesej dikirimkan kepada kekasihnya yang memaki hamun kami termasuk mendoakan saya dan keluarga mampus.
“Sebelum itu dia melayan anak bongsu saya dengan teruk apabila membiarkan anak kecil berusia dua tahun hancing dan bermain dengan air tandas,” katanya.
Anak dikasari pembantu rumah
Lebih mengejutkan dua pembantu rumah turut mendedahkan bahawa bibik Elly mengasari anak bongsunya.
“Sebelum ini saya hairan anak saya berbau busuk setiap kali saya balik kerja, malah badannya juga penuh dengan luka tapi apabila ditanya dia, siap bersumpah dengan nama Allah jaga anak dengan baik.
“Rupa-rupanya anak saya sudah beberapa kali jatuh dan dibiarkan sendirian tetapi pembantu lain tidak berani bersuara kerana dia lebih lama berkhidmat.
“Saya memang tidak pernah syak apa-apa sebab bila dia sebut Allah saya fikir takkan dia tergamak bermain dengan nama Allah,” ujarnya.
Terlalu asyik bercinta
Tidak pernah ambil kisah akan kehidupan peribadi pembantu rumahnya namun ia memberi kesan kepada pekerjaannya.
Wanita berusia lewat 40-an dikatakan leka bermain cinta dengan lelaki senegara dari Indonesia yang kononnya bekerja sebagai juruterbang.
“Saya difahamkan dia bercinta dengan juruterbang dan habis duit pada lelaki itu. Saya enggan masuk campur, cuma bila sampai tugas terabai dan anak jadi mangsa memang saya tidak boleh diam.
“Paling biadab apabila kita panggil bersemuka pun dia tidak menunjukkan sebarang penyesalan.
“Tiada langsung ucapan maaf yang keluar dari mulut,” tambahnya yang sudah menamatkan perkhidmatan pembantu rumahnya.