Pelik!!! Hina solat, polis sahkan tiada tindakan dikenakan terhadap pengasas kosmetik
Polis Kelantan sudah mengambil keterangan seorang pengasas kosmetik yang didakwa mempersenda agama Islam dan dua individu lain.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Wan Khairuddin Wan Idris, berkata pihaknya sudah merakam keterangan tiga individu termasuk pengasas kosmetik berusia 30-an itu, Isnin lalu.
“Kita sudah memanggil mereka yang terbabit dalam video yang tular itu. Bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Kita menganggap kes ini selesai kerana keterangan sudah diambil,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Terdahulu, media melaporkan polis menerima laporan berhubung seorang wanita dipercayai pengasas produk kosmetik didakwa mempersendakan agama Islam.
Usahawan itu dikatakan mengeluarkan kenyataan “tidak suka sembahyang dan semua orang tidak sembahyang pada tahun 2021” menerusi satu rakaman video yang tular.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Abdul Rahim Daud, dilaporkan berkata laporan diterima Ibu Pejabat Polis daerah ini pada 10.25 pagi Ahad lalu.
Sementara itu, Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad, meminta pihak berwajib menyiasat dakwaan wanita beragama Islam tidak pernah sembahyang dan tidak tahu mengambil wuduk sebagaimana tular di media sosial.
Katanya, penguat kuasa agama amnya perlu menyiasat mengapa wanita itu mengeluarkan kenyataan sedemikian yang bertentangan dengan ajaran Islam.