Pembentangan RUU MA63 ditangguh, PH luah kekecewaan komitmen kerajaan

Pembentangan RUU MA63 ditangguh, PH luah kekecewaan komitmen kerajaan

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) kecewa dan kesal susulan tindakan kerajaan menangguhkan pindaan perlembagaan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dalam kenyataan seperti dilaporkan portal FMT hari ini, PH berkata, penangguhanan ini berlaku walaupun proses perbincangan dan rundingan telah diadakan selaras dengan Perkara 5 Memorandum Persefahaman di antara kerajaan dan Pakatan Harapan.

“Kami difahamkan berdasarkan laporan media bahawa Rang Undang-Undang tersebut akan dibentang di Parlimen pada 26 Okt, namun ia tidak akan dibahas dan diluluskan pada 28 Okt seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini,” kata kenyataan itu.

Majlis Presiden PH yang dianggotai Anwar Ibrahim (PKR), Mohamad Sabu (Amanah), Lim Guan Eng (DAP) dan Madius Tangau (UPKO), berkata mereka menyokong penuh usaha ini, namun mahu pindaan tersebut dilaksanakan dengan segera.

Kata mereka, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) perlu memberi komitmen untuk segera melaksana pindaan ini demi keadilan buat rakyat Sabah dan Sarawak.

“Ini adalah kesinambungan usaha pimpinan Pakatan Harapan sejak sekian lama, termasuk dalam mengiktiraf Hari Malaysia seperti yang diangkat oleh Anwar Ibrahim pada 2008.

“Selain pendirian veteran DAP, Lim Kit Siang di Parlimen yang tidak menyokong pindaan Perlembagaan pada 1976 yang telah mengubah status Sabah dan Sarawak dari ‘wilayah’ menjadi ‘negeri’,” kata mereka lagi.

Terdahulu, media melaporkan kerajaan akan meneruskan rancangannya untuk membentangkan Rang Undang-undang (RUU) bagi meminda beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan sejajar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Parlimen pada 26 Okt ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagaimanapun berkata, bacaan kali kedua RUU itu akan dijadualkan semula ke tarikh lain daripada rancangan awal pada 28 Okt.

Beliau berkata, ini akan membolehkan Peguam Negara (AG) menjelaskan lebih lanjut cadangan pindaan kepada anggota Kabinet mengenai perkara itu.