Pemilik katering ajar cara mudah elakkan bihun yang dimasak lembik, putus-putus

Pemilik katering ajar cara mudah elakkan bihun yang dimasak lembik, putus-putus

Bihun goreng adalah salah satu menu ringkas kegemaran ramai, baik yang muda mahupun warga tua.

Cara menyediakannya mungkin nampak mudah, namun berpeluh juga kalau tiba-tiba perlu memasak untuk sesuatu acara, kenduri atau sebagainya.

Bukan sahaja kerana perlu memasak untuk ramai orang, tetapi apa yang paling dibimbangkan adalah bihun goreng tiba-tiba ‘tidak menjadi’ kerana putus-putus atau lembik.

Bagi yang mungkin akan berdepan dengan situasi ini, jangan risau kerana anda boleh mencuba tip yang dikongsikan oleh seorang pemilik katering, Nurjuwaini Aziz.

Berikut adalah tip yang dikongsikannya:

1) Rendam bihun di dalam air biasa terlebih dahulu. Tidak perlu rendam di dalam air panas. Rendam sehingga lembut, biasanya sekitar satu jam.

2) Siapkan pes rencah dan tumis dalam kuali atau kawah.

3) Masukkan bihun yang sudah ditos airnya. Selepas masukkan bihun, elakkan daripada menambah air ke dalam kuali.
Ini tidak membantu bihun lembut, tetapi membuatkan bihun kembang, putus dan hancur. Teksturnya boleh jadi kurang cantik.

4) Untuk jadikan bihun lembut sewaktu menggoreng, mula-mula gaul sebati bihun dengan rencah dulu, kemudian buatkan lubang di tengah-tengah. Pastikan boleh nampak dasar kuali. Guna api perlahan.

5) Selepas beberapa ketika, dasar kuali akan berasap. Kacau bihun perlahan-lahan dan jangan sesekali putuskan bihun.

6) Ulang langkah buat lubang di tengah dan kacau dengan perlahan-lahan sehingga bihun betul-betul lembut.

7) Apabila bihun sudah lembut, boleh masukkan sayur-mayur. Gaul sebati dan bihun siap dimasak!

Untuk makluman, teknik ini juga sesuai untuk memasak bihun dalam jumlah yang kecil. Semoga bermanfaat!

Sumber – Portal Mstar