Pemuda dianugerah RM3.1 juta gara-gara tersalah khatan
Seorang pemuda berumur 22 tahun yang terpotong kepala alat sulitnya ketika berkhatan 12 tahun lepas, memperoleh ganti rugi berjumlah RM3.1 juta selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan tuntutan samannya terhadap kerajaan Malaysia dan empat lagi.
Turut turut dinamakan sebagai defendan dalam saman itu ialah pegawai perubatan dan pengarah Hospital Kuala Lipis di Pahang serta doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang di Selangor.
Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas memutuskan bahawa kesemua defendan telah melakukan kecuaian terhadap keadaan yang dialami oleh pemuda itu selaku plaintif.
Beliau berkata, mahkamah membenarkan ganti rugi khas seperti yang dinyatakan dalam pliding iaitu RM108,356, ganti rugi am RM2 juta, ganti rugi teruk RM500,000, ganti rugi teladan RM500,000 dan kos RM100,000 dibayar kepada plaintif oleh kesemua defendan.
Akhtar membuat keputusan itu dalam prosiding dalam talian menerusi aplikasi Zoom yang turut disertai peguam, Mohamad Zainuddin Abu Bakar bagi pihak plaintif dan Peguam Persekutuan, Saravanan Kuppusamy yang mewakili defendan.
Seramai tiga saksi plaintif dan lima saksi defendan memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula 22 September 2020.
Mohamad Zainuddin dan Saravanan ketika dihubungi pemberita mengesahkan keputusan hari ini.
Saravanan bagaimanapun berkata, pihaknya akan mendapatkan arahan lanjut sama ada mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.