Pemuda ini dedah kenapa orang luar negara sanggup datang Malaysia semata-mata untuk ke Gunung Jerai, apa ada di sana?
SELAMA ini pencinta batu-batu permata barangkali hanya mengenali batuan mineral itu yang diimport dari negara-negara luar seperti Myanmar, Brazil, Columbia atau mungkin Sri Lanka.
Kerana ketaksuban terhadap batu-batu permata dari negara-negara berkenaan menyebabkan ada dalam kalangan kita
Ada yang sanggup melabur beribu-ribu atau mungkin berpuluh-puluh ribu ringgit semata-mata untuk membeli rekaan yang diminati.
Namun begitu, tahukah anda bahawa Malaysia juga tidak ketinggalan memiliki khazanah berharga yang kalau pun tidak sama, mungkin menghampiri dengan apa yang ada di negara-negara pengeluar mineral itu.
Bermula dengan batu Raw Quartz Rutile yang akhirnya dinamakan sebagai Kecubung Langkasuka.
Di Gunung Jerai, Kedah, tersimpan batu-batu permata yang kini sedang giat diterokai oleh penduduk tempatan.
Dalam kunjungan Astro AWANI ke kaki gunung peranginan itu baru-baru ini, kelihatan sekumpulan sahabat yang sedang giat melakukan pencarian.
Ketika disapa, mereka memaklumkan sedang mencari batu-batu permata yang mempunyai nilai yang sangat tinggi.
Berdasarkan perbualan dengan mereka, Astro AWANI dimaklumkan, dari mata kasar, batu-batu permata berkenaan mungkin kelihatan sangat biasa atau tidak berharga.
Realitinya, sepengetahuan mereka, batu-batu yang ada di kaki Gunung Jerai mempunyai nilai dan harga yang setara dengan hasil mineral dari negara luar.
Bagi Muhammad Zarith Mohd Razlan, berdasarkan kajiannya, antara batuan mineral bertaraf permata yang tersembunyi di Negeri Jelapang Padi itu ialah Quartz (clear quartz, ros, smoky, phantom serta rutile), Garnet (almandine merah), Tourmaline (hitam), Stony Iron, Hematite, Agate (carnelian) dan Fluorite.
Berusia 21 tahun, Muhammad Zarith mewarisi ilmu batuan mineral daripada ibunya, Aniza Saadudin atau mesra dipanggil ‘Cekja’ yang juga seorang usahawan batu permata di Kedah.
Katanya, dia mengambil kesempatan masa yang ada sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mendalami ilmu batu permata dengan bimbingan ibunya.
“Seperti yang kita dapat tengok sekarang batu Quartz dari Gunung Jerai mempunyai nilai… pada saya sangatlah berbaloi untuk saya untuk mendalamkan lagi ilmu permata,” katanya.
Aktiviti mencari batu permata di kaki Gunung Jerai semakin mendapat perhatian.
Rakannya, Muhd Arif Zahin, 21 tahun, juga sependapat dengan Muhammad Zarith yang mahu memanfaatkan masa lapang yang ada dengan mendalami ilmu batu permata.
“Benda ini (ilmu batu permata) sangat bermanfaat sebab tidak ramai golongan muda yang nak ambil tahu mengenai batu permata ini sedangkan ini adalah kekayaan negeri Kedah,” kata pelajar kursus maritim perkapalan ini lagi.
Seorang lagi teman mereka, Ahmad Haziq Uwais yang juga penuntut jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik berkata, Kedah menyimpan banyak sumber mineral semulajadi yang wajar dimanfaatkan.
Katanya, selain di Gunung Jerai, sekitar pesisir-pesisir pantai di negeri itu juga menyimpan sumber mineral yang bernilai tinggi.
Astro AWANI difahamkan, batu-batu permata yang dikutip di kaki gunung berkenaan akan dibawa ke galeri untuk dinilai sebelum diproses menjadi barangan kemas seperti batu cincin, loket dan gelang.
Selepas siap diproses, kesemua barangan kemas itu akan dipamerkan untuk jualan.
Koleksi Raw Garnet Alamandine sangat menawan dan mewah mudah membuatkan ramai yang jatuh hati.
Sementara itu, Aniza yang juga pemiliki Galeri Puncak Permata Rezeki berkata, selama ini dia mendapat bimbingan dan Kerjasama dari Jabatan Mineral dan Geosains Kedah, Perlis dan Pulau Pinang serta Persekutuan bagi mengkaji kualiti batuan mineral.
Katanya, dengan keunikan batu-batu permata tempatan, adalah sewajarnya untuk seluruh rakyat Malaysia menghargainya.
Menurut Aniza, sesuatu yang merugikan sekiranya rakyat tempatan sendiri tidak mengetahui keunikan batu permata tempatan sedangkan orang luar amat menghargainya.
“Dunia telah mengiktiraf batuan kita, tapi kita tidak menghargainya amatlah merugikan kerana batuan kita sangat bernilai dari zaman British lagi.
“(Sumber) mineral kita telah dinilai (oleh orang asing) dan menjadi satu tarikan kepada negara-negara lain untuk ke Malaysia.
“Inilah bukti bahawa batuan kita terbaik dan eloklah kita jaga dengan sebaik mungkin kerana ia juga memakmurkan ekonomi kita,” kata Aniza yang sudah lebih 15 tahun berkecimpung dalam perniagaan batu permata ini.
Batu Clear Quartz bakal dinamakan Jeraimonite apabila sudah di facet menjadi potongan bersegi.
Sementara itu, mengulas mengenai aktiviti pencari batu permata di kaki Gunung Jerai, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Kedah/ Perlis dan Pulau Pinang, Abdullah Sulaiman berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima sebarang permohonan atau kelulusan dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri bagi tujuan itu.
Bagaimanapun, dalam masa sama, katanya, aktiviti pencarian batu permata atau mineral bagi tujuan perdagangan atau komersial, lesen lain di bawah Enakmen Mineral Negeri boleh dipertimbangkan seperti lesen mendulang atau lesen melombong individu.