Pengguna lebuhraya boleh bayar tol guna kad debit, kredit di Lebuhraya KL-Putrajaya mulai hari ini
Setelah bertahun-tahun pengguna lebuhraya menantikan Sistem Kutipan Tol Secara Pembayaran Terbuka (SPT), akhirnya pembayaran tol menggunakan kad debit atau kad kredit boleh digunakan mulai hari ini, 3 Ogos 2023 di Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kemudahan itu sekali gus memberikan alternatif baharu dan kemudahan kepada pengguna dalam proses pembayaran tol, selain dari kaedah sedia ada seperti Touch ‘n Go, SmartTag dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
Memetik Harian Metro, sebagai permulaan enam lorong di Lebuhraya MEX akan dibuka untuk pengguna menggunakan kemudahan SPT itu.
Ini merupakan satu alternatif tambahan untuk menjamin keselesaan pemanduan anda. Mod pembayaran sedia ada, seperti Touch 'n Go, SmartTAG dan RFID masih lagi boleh digunakan seperti biasa.
Selamat memandu!@moworksmy @LLMrasmi @llmtrafik @astrotraffic
— MEX HW 03-83159111 (@MexTraffic) August 3, 2023
“Ia adalah sebahagian inisiatif Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk melaksanakan sistem SPT di 12 lebuh raya terpilih secara berperingkat bermula September depan.
“Pelaksanaannya kelak membabitkan Lebuhraya MEX, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Besraya, Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Terowong SMART, Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP),” katanya.
Maju Expressway Sdn Bhd (MESB), syarikat konsesi Lebuhraya MEX adalah antara 12 lebuh raya terawal akan melaksanakan sistem SPT yang mana pengujian sistem sudah bermula pada Julai 2023 bagi memastikan kesediaan dan kelancaran pelaksanaan operasi selaras dengan piawaian ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).