Pengharaman judi di Kedah, calon PN di PRN Melaka berdepan undi protes
Proses pengundian awal PRN Melaka sedang berlangsung hari ini. Sejumlah 74 peratus petugas barisan hadapan terdiri daripada polis dan tentera yang mengundi awal sudah keluar menjalankan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka setakat jam 2 petang.
Ramai pemerhati sedang menunggu signal daripada pengundi terutama terhadap parti yang disertai Pas, iaitu Perikatan Nasional.
Ini susulan larangan pengoperasian premis perjudian di Kedah yang dilihat telah mencetus kebimbangan baru buat penduduk Melaka mutakhir ini.
Mereka jelas bimbang langkah sama diambil di negeri itu sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi pilihan raya negeri (PRN) minggu depan.
Lily Chiang, 55, berkata larangan itu adalah tidak adil bagi bukan Islam kerana dasar itu tidak mengambil kira hak mereka untuk melakukan aktiviti berkenaan, seperti dilaporkan portal akhbar FMT.
“Kadang-kadang orang Cina berkata mereka mahu ‘mencuba nasib’. Tiada apa-apa yang salah jika buat sedemikian,” katanya.
Larangan itu juga mungkin menghalang industri pelancongan antarabangsa kerana Melaka adalah destinasi bagi orang ramai dari seluruh dunia.
Bagaimanapun, beliau tidak percaya PN akan melaksanakan dasar sedemikian kerana Bersatu adalah parti yang lebih besar dalam gabungan itu dan lebih berfikiran terbuka.
Seorang warga Melaka berusia 23 tahun, yang hanya mahu dikenali sebagai Teo berkata, larangan itu akan memberi kesan kepada orang lebih tua dan bersara yang biasanya sering mengunjungi premis perjudian untuk sedikit keseronokan dalam kehidupan seharian mereka.
“Jika kedai 4D ini sah, kenapa kerajaan perlu mengharamkannya? Bagi saya, ini bukan satu isu kerana orang Melayu dan Islam tidak boleh mengambil bahagian. Jika saya orang Kedah, saya akan katakan perkara ini tidak sepatutnya berlaku di negeri saya. Tetapi saya tidak tahu apa yang boleh dilakukan untuk menentangnya,” katanya.
Menyuarakan kekecewaan dalam isu sama dan juga kontroversi mengenai wiski “Timah”, Mani, 70, berkata, kerajaan PN tidak sepatutnya mencampuri urusan di Melaka.
Kekecewaan Mani membuatkan dia tidak ambil peduli tentang siapa yang patut membentuk kerajaan negeri. “Siapa pun yang menang, saya tidak kisah,” katanya.
Beliau juga tidak percaya kerajaan PN akan melaksanakan dasar itu melainkan PAS memainkan peranan yang kuat dalam kerajaan.
Larangan Kedah itu diumumkan pada Ahad oleh Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor yang dilaporkan berkata, Majlis Kerajaan Tempatan tidak akan memperbaharui lesen perniagaan premis perjudian. Sekatan juga dilaksanakan terhadap penjualan alkohol di kawasan permintaan rendah.
Keputusan itu dikritik kerana melanggar hak orang bukan Islam. MIC dan MCA berkata, keputusan itu boleh membawa mesej yang salah bahawa Malaysia menjadi lebih ketat dan menuju ke arah konservatisme.