Penjawat awam, 30 yang lain ditahan ketika leka berjudi di ladang kelapa sawit

Penjawat awam, 30 yang lain ditahan ketika leka berjudi di ladang kelapa sawit

Disebalik arahan MB Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor agar kaki judi ke Pulau Pinang jika ingin berjudi telah mencetuskan idea lain buat golongan tersebut.

Mereka mengambil langkah bijak apabila meneroka kawasan hutan dan ladang kelapa sawit yang banyak kedapatan di Kedah sebagai ‘port’ baru berjudi berbanding terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk ke negeri pulau tersebut.

Terkini,seorang penjawat awam antara 30 individu yang ditahan dalam Ops Dadu Krismas dalam serbuan di sebuah ladang kelapa sawit, dekat Kampung Kalai, Mukim Jeniang di sini, pada Sabtu.

Menurut Astro Awani, elaki berusia 53 tahun itu ditahan ketika cuba melarikan diri selepas menyedari lubuk mereka bermain judi diserbu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sekitar pukul 3 petang.

Ketua Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G Suresh Kumar yang mengetuai operasi turut menahan tiga individu yang dipercayai penganjur aktiviti judi belangkas terbabit.

Malah seorang warga emas berusia 69 tahun turut ditahan sekalipun sebelum ini sudah dua kali dia diberkas dalam operasi di Kubang Pasu pada September lalu.

Menurut lelaki yang hanya dikenali sebagai ‘Ong’, dia membawa wang tunai RM20,000 dan sebelum serbuan telah kalah bertaruh kira-kira RM4,000.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kepantasan polis mengepung dan menutup laluan tikus berjaya menahan 27 lelaki dan tiga wanita.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 74 tahun datang dari daerah lain semata-mata untuk bertaruh.

Kamarul Zaman memaklumkan, sejumlah RM72,875 wang tunai yang digunakan dalam pertaruhan dirampas.

Turut dirampas peralatan yang digunakan untuk aktiviti perjudian itu seperti dadu, sehelai kain kanvas tertera gambar belangkas, ikan, udang dan bunga serta peralatan untuk bermain judi termasuk meja dan kerusi.

Kesemua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.