Perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur dijangka tertangguh
Presiden Indonesia, Joko Widodo memberi bayangan rancangan memindahkan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur pada tahun ini, kemungkinan ditangguhkan.
Dekri presiden yang akan menandakan Nusantara (IKN) sebagai nama baharu ibu negara Indonesia itu mungkin dikeluarkan sebelum atau selepas Oktober ini, bergantung kepada situasi di lapangan.
“Kami tidak mahu menyegerakan sesuatu yang belum siap. Tak perlu tergesa-gesa. Kita perlu nilai kemajuan di lapangan,” katanya yang mesra disapa Jokowi seperti dilaporkan Bloomberg Technoz.
Kelewatan proses itu dijangka meningkatkan keraguan berhubung pelaksanaan projek hartanah berkenaan terutama ketika ia masih belum mendapat sebarang pendanaan daripada pelabur asing.
Walaupun pelbagai insentif ditawarkan kerajaan, ibu negara baharu hanya menerima pelaburan keseluruhan bernilai 49.6 trilion rupiah (RM1.43 bilion) daripada syarikat tempatan dan institusi milik negara.
Pihak berkuasa bandar itu, menyatakan pembiayaan domestik hanya boleh menampung 20 peratus daripada keseluruhan kos.
Kenyataan Jokowi itu menandakan perubahan sikap optimisnya untuk bekerja dari ibu negara baharu seawal Julai, seperti dinyatakan bulan lalu, selain reaksi terkini beliau dibuat sebulan selepas ketua dan timbalan agensi pengawasan pembangunan meletakkan jawatan yang antara lain melonjakkan ketidaktentuan mengenai pelaksanaan projek berkenaan.
Bercakap selepas penyerahan bantuan kemanusiaan di Pangakalan Udara Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur, Isnin lalu, Jokowi mengumumkan penangguhan proses memindahkan pejabatnya ke IKN di Penajam Paser Utara, Kalimantan Timur susulan infrastruktur belum siap dibina.
Beliau juga mengesahkan menerima laporan mengenai kelewatan pembinaan pejabatnya di IKN daripada Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat, Basuki Hadimuljono.
“Adakah infrastruktur air, elektrik dan kawasan berkenaan sudah siap? Saya akan berpindah ke sana, jika semuanya sudah siap dibina,” katanya seperti dilaporkan Tempo.Co.
Jokowi asalnya bercadang berpindah pada Julai ini, dengan operasi bermula selari penyelesaian fasa pertama pembinaan, selain kerajaan merancang untuk meraikan sambutan kemerdekaan Indonesia di IKN, pada 17 Ogos ini.
Sebelum ini, Ketua Pasukan Petugas Pembangunan Infrastruktur IKN, Danis Sumadilaga dilapor berkata pembinaan pejabat Presiden sudah mencapai 92 peratus, selain pasukan petugas menyasarkan projek itu siap dibina menjelang minggu kedua Julai ini, sebagai persediaan bagi sambutan kemerdekaan.
Selain pejabat Presiden, Danis menjangkakan pembinaan Istana, Sumbu Kebangsaan, Taman Memorial dan Beranda Nusantara siap sepenuhnya menjelang akhir bulan ini.
Bangunan lain, seperti Sekretariat Presiden dan Kementerian Sekretariat Negara, juga dijangka memulakan beroperasi secara berperingkat.