Pertandingan dikir barat kecoh, peserta tak puas hati, meja juri diterbalik
Pertandingan akhir dikir barat sempena Festival Kesenian Rakyat Kelate (FKRK) 2023 di Pantai Geting malam Sabtu kecoh apabila wujud ketidakpuasan hati terhadap senarai pemenang.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11.30 malam selepas pengumuman nama pemenang.
Wakil daripada salah satu empat pasukan yang bertanding mula membuat kecoh dan mendakwa berlaku ketidakadilan serta campur tangan pihak luar.
Kekecohan semakin panas apabila ada individu yang tidak berpuas hati bertindak ke meja juri sebelum diterbalikkan.
Bagaimanapun, jawatankuasa keselamatan berjaya meleraikan pergaduhan berkenaan dan cuba menenangkan pihak terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, kekecohan yang berlaku dapat diselesaikan antara mereka sahaja.
“Tiada laporan polis dibuat mengenai kekecohan yang mungkin tercetus daripada salah faham antara pasukan bertanding,” katanya.
Pertandingan akhir dikir barat itu merupakan antara acara kemuncak FKRK 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula Khamis lalu.
Pertandingan dikir barat membabitkan empat kumpulan iaitu Sirat Maharaja, Medan Kemulang, Lepah Jati dan Bentara Pujangga.