Petanda sebelum ajal, anak kongsi bapa beri dua gambar minta simpan biar jadi kenangan
Petanda sebelum ajal, anak kongsi bapa minta simpan gambar biar jadi kenangan. Mungkin seakan dapat merasai ajal mendekat, pemandu e-hailing yang terlibat dalam nahas tragedi pesawar terhempas di Elmina, petang semalam meminta anak perempuannya menyimpan gambar berukuran pasportnya baik-baik.
Petanda Sebelum Ajal
Hal ini disuarakan arwah Sharipuddin Shaari, 53 ketika keluar berjalan bersama keluarga di sebuah pusat membeli belah di Kota Warisan, Sepang dua minggu lalu.
“Dua minggu lalu ketika dalam perjalanan ke sebuah pusat beli-belah di Kota Warisan, ayah memberikan saya dua keping gambar yang sama dan menyuruh saya menyimpan sebagai kenangan,” kata anak sulungnya, Muhammad Sharul Izuan, 16 tahun.
Menjelaskan hal ini, kata Sharul, ketika bapanya memberikan gambar itu, mereka sekeluarga terdiri daripada ibu, Suriana Muda, 43, dan adik bongsu, Nur Izzara Arissya,9, ada bersama dalam kereta.
“Saya tidak menyangka permintaannya menyuruh menyimpan gambar itu menjadi petanda ayah akan pergi meninggalkan kami selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di Taman Vista, Bandar Baru Salak Tinggi, di sini, hari ini.
Anak Kongsi Bapa Minta Simpan Gambar Biar Jadi Kenangan
Memetik laporan Harian Metro, kali terakhir dia bertemu ayahnya adalah ketika mahu ke sekolah pagi semalam.
“Pagi semalam kali terakhir saya bertemu bapa yang ketika itu berada di luar rumah dan sedang memeriksa enjin kereta.
“Ayah tidak bercakap sepatah pun sebelum saya pergi ke sekolah menunggang motosikal bersendirian.
“Malam sebelumnya ayah beriya-iya menyuruh saya makan dan bersembang panjang kerana kami jarang bercakap kecuali ada perkara penting yang perlu dibincangkan.
“Petang semalam kira-kira jam 6 petang, anggota peronda polis datang ke rumah memaklumkan ayah terbabit kemalangan dan berita itu amat mengejutkan kami sekeluarga,” katanya.
Muhammad Sharul Izwan berkata, kali terakhir bapanya menghubungi ibu pada 2.15 petang semalam ketika sedang berehat di sebuah restoran dan memaklumkan berada di sekitar Elmina untuk mengambil pelanggan dan pulang awal selepas selesai bekerja.
Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Salak Tinggi berkata, sebelum ini mereka sekeluarga tinggal di Arau, Perlis dan berpindah menyewa di taman itu sejak hujung tahun lalu.
“Pemergian ayah sangat mengejutkan kami sekeluarga kerana arwah seorang yang penyayang namun kami reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya.