PKPB mulai 5 Februari dijangka lebih ketat
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bakal dilaksanakan, mulai 5 Februari depan dijangka lebih ketat dan memperuntukkan sekatan tertentu.
Pakar virologi dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Yahya Mat Arip, berkata langkah tidak menambah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan tamat pada 4 Februari ini berkemungkinan mempunyai beberapa asas.
Katanya, ia termasuk mengambil kira tanggapan masyarakat terhadap PKP fasa kedua kali ini yang disifatkan sangat longgar dan lebih mirip PKPB.
“Sekarang ini kita lihat antara PKP dan PKPB, tidak banyak beza kerana pelbagai kegiatan sektor ekonomi dibenarkan beroperasi seperti biasa.
“Justeru, tiada masalah untuk beralih kepada PKPB, namun saya jangkakan ia bukanlah longgar seperti sebelum ini bagi memastikan matlamat untuk menurunkan kadar kes harian kepada dua angka berupaya dicapai.
“Oleh itu, sekatan perjalanan rentas negeri berkemungkinan masih dikekalkan, selain beberapa prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan jangkitan COVID-19.
“Pergerakan dalam antara daerah dijangka dibenarkan, selari pelaksanaan PKPB tetapi menerapkan SOP ketat,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, semalam dilaporkan berkata PKP yang bakal berakhir pada 4 Februari ini tidak akan dilanjutkan kerana ia memberi kesan negatif terhadap ekonomi.
Sehubungan itu, mekanisme kawalan bagi membendung penularan COVID-19 di dalam negara akan digantikan dengan PKPB selama tiga bulan, sebelum kadar kes harian dijangka kembali menyusut ke dua angka menjelang 11 Mei.
Berdasarkan beberapa petunjuk, Yahya berkata langkah membendung wabak COVID-19 mula menunjukkan kesan positif apabila kadar ‘R naught’ (RO) atau kebolehjangkitan menurun kepada 1.04, setakat hari ini.
Selain itu, katanya, jumlah individu yang sembuh atau bebas daripada jangkitan COVID-19 melebihi kadar kes positif harian, sejak 23 Januari lalu.
“Ini mencerminkan bahawa kadar penularan berupaya distabilkan seperti laporan Kementerian Kesihatan (KKM) dan jika pola sedemikian berterusan, RO akan terus menyusut,” katanya.
Pakar epidemiologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, yang turut menyuarakan nada sama pula berkata beberapa pertimbangan harus diambil apabila ingin beralih kepada strategi PKPB.
Meskipun wujud kerjasama swasta dan kerajaan susulan pewartaan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, beliau berkata risiko kegagalan sistemik terhadap aspek perkhidmatan kesihatan harus diberikan perhatian.
“Mungkin Ketua Pengarah Kesihatan berdepan tekanan untuk mengurangkan impak terhadap sektor ekonomi, justeru peralihan kepada PKPB ialah jalan terbaik bagi mewujudkan situasi ‘menang-menang’.
“Bagaimanapun, kita perlu teliti perkembangan kadar kes harian supaya ia tidak melangkaui kemampuan untuk menampung pesakit, bersandarkan kapasiti di sektor swasta dan awam.
“Peralihan kepada PKPB juga mungkin memberi ‘sinar’ baharu kepada peluang untuk memulakan semula persekolahan secara bersemuka, tetapi menerusi pelaksanaan mekanisme keselamatan tertentu.
“Ini termasuk jadual ke sekolah mengikut kumpulan dan secara bergilir bagi menjaga penjarakan fizikal. Saya juga minta supaya harga saringan COVID-19 diselaraskan dan dikawal supaya lebih ramai yang mampu membuat ujian,” katanya. – BH