Polis berjaya cekup 4 pelacur warga asing dalam keadaan berkemban
Seramai empat orang wanita warga asing dipercayai pelacur ditahan polis daerah Penampang dalam serbuan sempena Op Noda di sebuah premis di Jalan Bundusan semalam.
Dalam serbuan sekitar pukul 2.40 pagi itu, turut menahan dua lelaki tempatan disyaki pelanggan.
Operasi yang dilaksanakan Cawangan D7, Unit Pencegahan Judi/Maksiat dan Kongsi Gelap, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah memeriksa empat bilik di premis terbabit sebelum mendapati dua daripada bilik yang diperiksa menemui dua wanita warga asing bersama pelanggan disyaki sedang melakukan aktiviti persundalan.
Kesemua wanita warga asing berkenaan berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun kemudiannya ditahan ekoran disyaki melakukan aktiviti pelacuran.
Turut ditahan dua lelaki warga tempatan berusia 20 dan 30 tahun selain turut merampas kondom, pelincir, telefon serta wang tunai.
Semua tangkapan dan barang rampasan kes dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan.
Beliau berkata, kejayaan operasi berkenaan adalah hasil risikan dan maklumat pegawai dan anggota D7 IPK Sabah dalam usaha membanteras kegiatan pelacuran di negeri ini termasuk kegiatan persundalan melalui aplikasi atas talian.
Menurutnya, kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 372 B Kanun Keseksaan.