Polis sahkan berjaya tahan Ayah Su
Seorang pengamal perubatan tradisional yang dikenali sebagai Ayah Su memperdayakan mangsa yang mengalami masalah gangguan makhluk halus dengan cara menyentuh kemaluan mangsa sebelum melakukan persetubuhan ketika proses rawatan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kaedah rawatan ‘keji’ itu terbongkar apabila salah seorang mangsa membuat laporan polis pada Khamis lalu.
“Mangsa yang berumur 23 tahun dan bekerja sebagai pembantu kedai telah ke rumah Ayah Su di Tendong bersama bakal suami dan ibunya pada jam 3 petang untuk mendapatkan rawatan.
“Suspek yang berusia 67 tahun dan merupakan pesara kerajaan telah meminta pengadu untuk masuk ke dalam bilik rawatan melalui pintu belakang rumah,” katanya kepada pemberita pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada Ahad.
Menurutnya, semasa pengadu berada di dalam bilik rawatan seorang diri, suspek telah meminta pengadu untuk menanggalkan seluar yang dipakainya.
Semasa rawatan berlangsung, jelas beliau suspek telah bertindak menggosok paha serta kemaluan mangsa lalu memasukkan jari ke dalam alat sulit mangsa.
Mohd Nasaruddin berkata, selepas itu suspek telah bertindak memasukkan dan mengeluarkan kemaluannya ke dalam alat sulit mangsa beberapa kali.
“Suspek turut memberikan amaran kepada mangsa supaya tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa dan telah meminta mangsa untuk datang ke rumahnya sekali lagi untuk membuat rawatan.
“Pada jam 12 tengah malam, sepasukan anggota telah membuat tangkapan ke atas suspek untuk siasatan lanjut, kita reman selama tujuh hari bermula semalam hingga 22 Oktober depan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Menurut Mohd Nasaruddin, hasil siasatan awal mendapati suspek aktif menjalankan perubatan tradisional itu sejak tahun 1985.
Pihaknya juga mendapati, suspek menggunakan modus operandi gangguan makhluk halus sebelum merogol mangsa.
Mohd Nasaruddin menjelaskan, polis tidak menolak kemungkinan ini bukan kejadian pertama yang dilakukan oleh suspek.
“Jadi, saya menyeru mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa perbuatan suspek turut tampil membuat laporan polis,” katanya.
Sumber – Sinar Harian