PRN Melaka : KKM sahkan Najib dan Muhyiddin tidak lakukan kesalahan
Tiada aktiviti perhimpunan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam dua program berasingan melibatkan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
Sebaliknya, siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mendapati, aktiviti kedua-dua pemimpin itu lebih berbentuk ‘walkabout’, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan hari ini, seperti dilaporkan portal akhbar Sinar Harian.
Bagaimanapun, menurut KKM, kedua-dua penganjur program tetap dikenakan kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Ini berikutan kegagalan penganjur memastikan pematuhan penjarakan fizikal oleh orang ramai yang hadir ke program tersebut.
“Kompaun bernilai RM20,000 ditawarkan kepada PN Melaka sebagai penganjur perhimpunan yang melibatkan kehadiran Muhyiddin.
“Manakala satu lagi tawaran kompaun bernilai RM4,000 dikeluarkan kepada individu yang bertindak sebagai penganjur program yang dihadiri Najib,” kata KKM.
Kementerian berkata, pemantauan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), khususnya menjelang PRN Melaka, akan terus dilaksanakan sebagai langkah pencegahan penularan jangkitan Covid-19.
“KKM tidak akan teragak-agak mengeluarkan kompaun kepada mana-mana individu atau pertubuhan perbadanan yang melanggar SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“KKM menasihati agar masyarakat terus patuh kepada SOP dan menjalankan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dalam memerangi pandemik COVID-19 di Malaysia,” tegasnya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya tidak dibenarkan berkuat kuasa 25 Oktober hingga 27 November.
Katanya, KKM mendapati, antara penyumbang kepada peningkatan kes dan kluster Covid-19 dalam negara adalah berkait dengan aktiviti perhimpunan atau majlis sosial yang tidak patuh SOP