Puad bidas Fadhlina, bukan isu bina sekolah baru, peruntukan lulus 3 tahun lalu tapi tak buat
Seorang Adun Johor mempersoalkan kenyataan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bahawa tidak berlaku kelewatan naik taraf 14 sekolah daif seperti dibangkitkan Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi, baru-baru ini.
Adun Rengit Puad Zarkashi berkata beliau hairan dengan jawapan itu kerana kelulusan peruntukan itu telah diberikan tiga tahun lalu dan bukan membabitkan pembinaan sekolah baharu.
“Kenapa sudah tiga tahun belum dilaksanakan.
“Hairan juga tiga tahun dianggap tidak lewat bahkan dikatakan amat pantas. Ini bukan bina sekolah baru,” kata bekas timbalan menteri pelajaran itu di Facebook.
Beliau mengulas kenyataan Fadhlina kelmarin bahawa tidak berlaku kelewatan naik taraf sekolah daif mengambil kira komitmen dilaksanakan berdasarkan giliran dan jadual ditetapkan.
Katanya, semua projek melibatkan sekolah daif di seluruh negara mengikut tempoh ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Puad turut mempersoalkan sama ada peruntukan itu masih ada memandangkan lazimnya sebarang peruntukan yang tidak dibelanjakan pada tahun semasa akan dipulangkan.
“Menteri pula tidak beri ‘timeline’ (garis masa) bila naik taraf 14 sekolah itu akan dimulakan dan bila akan siap. Ia bukan jawapan yang bagus.
“Apakah peruntukan itu masih ada? Kalau ikut prosedur kewangan duit yang tidak dibelanjakan pada tahun semasa akan dipulangkan,” katanya yang turut mempersoalkan sama ada kelewatan itu kerana hanya satu kontraktor dilantik menjalankan kerja naik taraf sekolah.
Sebelum ini, Puad meminta KPM menyerahkan dana kepada kerajaan Johor susulan kelewatan menangani sekolah daif negeri itu.
Ia susulan kenyataan Onn Hafiz bahawa 14 sekolah dikategorikan daif sudah diluluskan peruntukan untuk dibaiki, tetapi selepas tiga tahun tiada satu pun projek berjaya disiapkan.