Puad calon popular MB baru Johor
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi menegaskan beliau tidak mengetahui atau dimaklumkan mengenai namanya yang didakwa disenarai pendek sebagai calon Menteri Besar Johor.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit urut menegaskan pendiriannya tidak mahukan jawatan itu dan Hasni Mohammad adalah individu paling layak dilantik menjadi Menteri Besar.
Sehingga kini, masih tiada makluman mengenai sebarang upacara mengangkat sumpah Menteri Besar walaupun sudah hampir 48 jam keputusan PRN Johor diumumkan pada Sabtu.
Terdahulu, tular di media sosial yang memetik sumber mengatakan selain Hasni, dua lagi nama turut dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai calon Menteri Besar, iaitu Puad dan ADUN Machap, Onn Hafiz Ghazi.
“Ini (disenarai sebagai calon Menteri Besar) saya takda dengar cerita atau dimaklumkan apa-apa.
“Cukup jelas pendirian saya sebelum ini menyokong Hasni sebagai Menteri Besar, itu keputusan MKT, tetapi apa yang berlaku selepas itu saya tak tahu.
“Zahid (Ahmad Zahid Hamidi) jumpa Tuanku pun saya tidak tahu dan dimaklumkan, saya disenarai pendek pun tak tahu,” katanya seperti dilaporkan portal FMT.
Terdahulu, Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden Umno menghadap Sultan Ibrahim di sini kira-kira 3 petang tadi dan pertemuan berlangsung hampir sejam.
Kini, Zahid dan Hasni sedang mengadakan pertemuan tertutup di Pejabat Perhubungan Umno Johor.