Rakaman depan belakang ‘dashcam’ kenderaan paparkan saat pesawat terhempas di Elmina

Rakaman depan belakang ‘dashcam’ kenderaan paparkan saat pesawat terhempas di Elmina

 

Rakyat Malaysia hari ini dikejutkan dengan satu kejadian pesawat terhempas berdekatan Elmina, di Shah Alam hari ini.

Sejak nahas tersebut berlaku, beberapa rakaman yang dibuat orang awam di lokasi kejadian turut dimuat naik ke media sosial dan menjadi tular.

Salah satunya adalah rakaman dashcam daripada sebuah kenderaan yang melalui kawasan tersebut ketika kejadian itu berlaku. Detik-detik nahas itu berlaku dirakam menerusi dashcam depan dan belakang kenderaan tersebut.

Dashcam tular rakam kejadian pesawat terhempas di Elmina

 

Sebelum ini, sebuah kapal terbang peribadi telah dilaporkan terhempas berdekatan Elmina, Shah Alam sekitar jam 2.49  petang, hari ini.

Menurut CAAM dalam satu kenyataan media, pesawat yang terhempas itu merupakan pesawat jenis Beechcraft Premier 1 dengan nombor pendaftaran N287V.

Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada pukul 2.08 petang dan sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz.

Menurut CAAM lagi, kontak pertama antara pesawat dengan Menara Kawalan Udara Subang berlaku pada 2.47 petang dan pesawat itu mendapat kebenaran untuk mendarat pada 2.48 petang.

”Pada 2.51 petang, Menara Kawalan Udara Subang mengesan kehadiran asap dari lokasi kejadian namun tiada panggilan kecemasan dibuat oleh pesawat itu.

Tambah kenyataan itu, siasatan ke atas insiden berkenaan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan.

Terdahulu, tular di media sosial hasil perkongsian orang awam keadaan di lokasi nahas. Kesan terbakar di atas permukaan jalan dan kawasan tepi jalan jelas kelihatan.

Dalam perkembangan terbaharu, media melaporkan 10 mangsa terkorban dalam nahas tersebut melibatkan enam penumpang dan dua kru pesawat beserta dua orang awam.

Menurut media, seorang exco kerajaan negeri Pahang merupakan salah seorang mangsa yang terkorban dalam nahas tersebut.

Manakala sebentar tadi, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilapor berkenan mencemar duli melawat lokasi kejadian nahas pesawat.

Laporan Astro Awani menyebut Seri Paduka Baginda dilapor berangkat tiba di lokasi kejadian sekitar pukul 5.40 petang tadi.