Sekitar 4-6 minggu, rizom kantan akan mula pecah mata tunas. Di sini kita akan dapat lihat pucuk baharu muncul.
Biarkan sehingga anak pokok setinggi 2 kaki untuk mula pindah. Biasanya memakan masa sekitar 2-3 bulan selepas semai.
Dalam masa fasa penjagaan semaian ini, eloklah ditambah dengan baja organik seperti kompos dan vermikompos. Baja ini akan menguatkan akar anak pokok sebelum dipindahkan di atas batas.
Penanaman di dalam bekas
Adakah pokok kantan boleh ditanam di dalam bekas? Ya boleh. Cari bekas dengan diameter sekitar 40cm x 50 cm x 50 cm tinggi. Guna tanah campur yang ada tanah, sekam bakar dan baja organik. Boleh dapatkan formula campuran tanah campur di sini. Saya ceritakan dari awal sampai habis.
Penanaman di atas batas
Pokok kantan sesuai ditanam di atas tanah yang kaya dengan bahan organik.
Korek lubang untuk penanaman sekitar 2 kaki per segi. Tabur baja organik seperti kompos dan paling penting sekam bakar. Sekam bakar akan meningkatkan kesuburan tanah. Banyak manfaat sekam bakar ini. Boleh baca sini untuk tahu lebih lanjut.
Akhir sekali masukkan anak pokok kantan atau rizom. Kambus dan siram seperti biasa. Siraman boleh dilakukan sebanyak dua kali sehari. Kantan suka tanah yang lembab.
Untuk jarak penanaman, pokok kantan boleh ditanam pada jarak 1 meter dalam baris dan 2 meter di antara baris. Ini rajah seperti disyorkan oleh Jabatan Pertanian.
Jika tanam pokok kantan sebagai tanaman selingan, tanam pada jarak 3-4 meter dari pokok utama. Contohnya 4 meter jarak dari pokok getah, durian, rambutan, nangka dan lain-lain. Selebih itu ikut jarak seperti penanaman tunggal.
Pembajaan
Pokok kantan cukup suka akan baja organik. Oleh itu pemberian baja organik berkala membantu mempercepatkan untuk pokok kantan mengeluarkan bunga.
Selain itu, anda boleh selang seli pembajaan dengan baja sebatian NPK seperti NPK biru.
Contoh jadual pemberian baja untuk setiap bulan:
Bulan 1 – Baja NPK Biru – 50g
Bulan 2 – Baja vermikompos – 100g
Bulan 3 – Baja NPK Biru – 50g
Bulan 4 – Baja vermikompos – 100g
dan seterusnya ikut selang seli.
Insya-Allah pokok kantan akan cepat mengeluarkan bunga. Kuncinya di sini adalah pemberian baja yang sedikit tapi istiqamah setiap bulan.
Jika tiada baja vermikompos, anda boleh ganti dengan baja kompos biasa, baja tahi ayam atau apa-apa baja organik yang boleh anda mudah dapat disekitar ladang atau kebun anda.
Kawalan Perosak dan Penyakit
Mengikut bacaan dan pengalaman, pokok kantan jarang sekali diserang oleh perosak dan penyakit. Sebab itu bunga kantan ini boleh dikatakan sebagai tanaman selingan yang bagus di ladang. Kos penyelenggaran hanyalah pada pemangkasan batang daun yang tua atau telah mati.
Tiada penggunaan racun kimia sepanjang penanaman. Dikira oleh lah, bukan?
Bilakah Kantan Mula Mengeluarkan Bunga?
Ikut pengalaman saya, sekitar 1-2 tahun selepas penamaman. Jika semua keperluan tanaman cukup seperti air, cahaya dan baja, insya-Allah sekitar setahun (12 bulan) sudah mula nampak kudup bunga.
Tetapi jika masih tidak mengeluarkan hasil, tetaplah bersabar. Kita bermain dengan makhluk hidup. Teruskan berdoa dan berikan baja organik berkualiti seperti vermikompos.
Penuaian
Biasanya bunga muka keluar selepas setahun (12-16 bulan) ditanam menggunakan rizom. Bunga kantan boleh dituiai sebaik sahaja kudup bunga mula keluar dari atas tanah.
Untuk penuaian, kerat pada pangkal. Sebolehnya jangan tinggalkan batang bunga di rumpun kantan. Potong sampai pangkal jika menuai bunga. Ini akan menggalakkan lagi pengeluaran bunga dalam rumpun tersebut. Anda boleh potong dengan gunting pangkas berkualiti tinggi.
Tuai kantan yang masih belum berkembang. Jika sudah berkembang, harga jualan berkurang.
Bagaimana cara agar kantan sentiasa mengeluarkan bunga?
Caranya mudah sahaja iaitu sentiasa tuai bunga kantan. Lagi kerap kita tuai, lagi banyak rumpun kantan akan keluarkan bunga. Kantan akan bagi signal perlu mengeluarkan lebih banyak bunga agar dapat membiak lagi.
Jika kita biarkan bunga layu dan menjadi biji benih, pokok kantan akan merasakan tiada keperluan untuk mengeluarkan bunga untuk pembiakan. Ini membuatkan kurang kudup bunga terhasil.
Rujukan
- Jabatan Pertanian.