Ramai tak tahu punca sebenar ramai pelajar SPM gagal subjek BM dan Sejarah
Masalah membaca dan menulis dipercayai punca ratusan ribu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) gagal mendapatkan sijil kerana tidak lulus subjek Bahasa Melayu atau Sejarah, selepas 11 tahun pembelajaran.
Pakar pendidikan, Anuar Ahmad dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata dua kelemahan itu seharusnya diatasi di peringkat sekolah rendah supaya pembelajaran lanjut tidak terganggu.
“Kementerian Pendidikan harus segera pastikan semua pelajar sebelum tamat sekolah rendah mahir membaca dan menulis kerana nanti susah mereka nak cemerlang atau lulus SPM.
“Nanti masuk sekolah menengah mereka tiada motivasi sebab sekolah menengah lagi mencabar, buku teks pun tebal-tebal,” katanya kepada FMT.
Untuk menilai tahap penguasaan membaca dan menulis, Anuar mencadangkan kerajaan memperkenalkan ujian khas sebelum pelajar melangkah ke sekolah menengah, atau meneliti semula pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah dua tahun lalu.
“KPM kena ambil tindakan proaktif. Saya rasa sekolah rendah kena ada ujian sebelum mereka naik ke Tingkatan 1.”
Sementara itu, Abd Razak Zakaria dari Universiti Malaya menggesa kerajaan mempertimbangkan semula dasar tidak melayakkan calon mendapat sijil semata-mata tidak lulus subjek Bahasa Melayu atau Sejarah.
Beliau berkata tidak wajar menjejaskan masa depan pelajar yang mendapat keputusan yang baik dalam subjek-subjek lain.
“Mengapa kita perlu bertindak kejam kepada mereka yang masih muda dan mempunyai kehidupan yang masih panjang? KPM perlu mengambil tindakan yang lebih berperikemanusiaan dalam hal ini,” katanya kepada FMT.
“Bagi calon yang tidak hadir langsung ketika peperiksaan atau memang gagal semua subjek selayaknya mereka dikecualikan mendapat sijil tersebut.”
NGO Untuk Malaysia dalam Dokumen Keciciran Pendidikan Malaysia yang diterbitkan pada Januari melaporkan kira-kira 140,474 calon gagal mendapatkan sijil SPM kerana tidak lulus subjek Bahasa Melayu atau Sejarah, dalam tempoh antara 2019 hingga 2021.
Data tiga tahun itu diambil daripada analisis keputusan SPM yang disediakan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), badan menyelia peperiksaan utama.