Rancangan jatuhkan kerajaan perpaduan bocor, netizen dakwa ‘lakonan’ Peja gagal

Rancangan jatuhkan kerajaan perpaduan bocor, netizen dakwa ‘lakonan’ Peja gagal

 

Dakwaan Perikatan Nasional merancang plot baru untuk menggulingkan pentadbiran Anwar Ibrahim semakin bertiup kencang, sekalipun didakwa tidak berasas oleh Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu.

Malah, ‘lakonan’ penafian Ahmad Faizal yang lebih mesra dipanggil Peja juga dianggap netizen tidak begitu meyakinkan.

Semalam, Peja memberitahu Malaysiakini bahawa tiada perbincangan dalam Bersatu dan PN untuk menggulingkan perdana menteri seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita hari ini.

PN, katanya, memberi tumpuan kepada pilihan raya enam negeri yang akan datang – khususnya negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan.

“Sejujurnya, saya tidak mendengar rancangan sedemikian. (Dakwaan itu) tidak berasas.

“Saya berhubung dengan presiden parti saya (Muhyiddin Yassin) setiap hari. Beliau telah memberitahu kami untuk bekerja di kawasan dan menggerakkan jentera kami (untuk menghadapi pilihan raya negeri).

“Beliau tidak pernah menyebut sebarang percubaan untuk menjatuhkan kerajaan.

“Saya tidak mendengar sebarang rundingan (mengenai perkara ini) dan tidak ada perbincangan dengan mana-mana ahli parlimen dari blok kerajaan, tiada perbincangan dengan ahli parlimen BN juga,” katanya .

Sebelum ini, portal berkenaan mendakwa terdapat cakap-cakap mengenai percubaan PN untuk meyakinkan beberapa ahli parlimen BN supaya meletak jawatan bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil.

Menurut laporan itu, sekiranya ahli parlimen BN terbabit menang, mereka akan dapat membentuk kerajaan baru – dengan bantuan ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak.

Seterusnya, kata laporan itu pembentukan kerajaan baru tersebut bertujuan menaikkan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri sekali lagi.

Laporan itu juga mendakwa bahawa perancang menjangkakan Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin akan membiayai plot tersebut kerana akaun bank Bersatu sudah dibekukan.

Ahmad Faizal ketawa apabila diminta mengulas mengenai dakwaan pembiayaan plot itu.

“Saya berkesempatan berbuka puasa dengan ayahanda Mahathir yang dikasihi baru-baru ini.

“Kami tidak bercakap politik. Kami hanya bercakap mengenai perhimpunan ‘proklamasi Melayu’.

“Dia baik-baik saja, tetapi sudah menunjukkan tanda-tanda usia. Kami mendoakan kesihatannya yang baik.

“Setahu saya, Daim tidak begitu sihat. Dia berdiam diri dan tidak menerima sebarang pelawat,” kata Ahmad Faizal.

Anwar kini mendapat sokongan 148 ahli parlimen manakala PN mempunyai baki 74 ahli parlimen.

Bagi menjatuhkan Anwar, PN perlu mendapatkan sokongan setiap ahli parlimen Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah, Warisan, Parti Bangsa Malaysia, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat, Muda, bebas dan sekurang-kurangnya tiga lagi ahli parlimen yang kini bersama BN.