Rawatan cegah Covid-19, KKM beri kelulusan guna ubat antibodi Ronapreve
Sinar Harian hari ini melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah pun bersetuju memberi kelulusan pendaftaran bersyarat bagi rawatan antibodi Ronapreve bagi pesakit Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, rawatan antibodi Ronapreve itu sebagai pencegahan Covid-19.
“Ronapreve digunakan bagi rawatan Covid-19 pada individu dewasa dan remaja berusia 12 tahun ke atas dengan berat sekurang-kurangnya 40 kilogram dan tidak memerlukan oksigen tambahan atau berisiko dijangkiti Covid-19 ke tahap yang lebih teruk,” jelasnya.
Dalam pada itu, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) meluluskan permohonan lesen import percubaan klinikal bagi produk pencegahan Covid-19 iaitu Molnupiravir.
Ronapreve pernah diberikan kepada bekas presiden US, Donald Trump yang dijangkiti Covid-19 tahun lepas.
Malah setiausaha kesihatan UK, Sajid Javid, menyebut Ronapreve sebagai rawatan pertama yang direka khusus untuk Covid-19 untuk menerima kelulusan kawal selia di UK.
Jabatan Kesihatan dan Penjagaan Sosial (DHSC) UK berkaya ubat tersebut berpotensi memberi manfaat kepada beribu-ribu pesakit, dengan pengenalannya pada mulanya disasarkan kepada mereka yang tidak melakukan tindak balas antibodi terhadap Covid-19.
Menurut laporan dari laman sesawang www.gov.uk, Ronapreve mengandungi bahan aktif ‘casirivimab’ dan ‘imdevimab’. Casirivimab dan imdevimab adalah sejenis protein yang dipanggil ‘antibodi monoklonal’.
Ronapreve berfungsi dengan melekat pada protein pada permukaan coronavirus yang dipanggil ‘protein spike’.
Ini menghalang virus daripada masuk ke dalam sel anda dan menyebabkan jangkitan seterusnya membantu badan anda mengatasi jangkitan virus dan boleh membantu anda menjadi lebih baik dengan lebih cepat.