Rogol dalam perkahwinan, perkara yang ramai tidak tahu

Rogol dalam perkahwinan, perkara yang ramai tidak tahu

 

Keganasan seksual dalam rumahtangga adalah realiti yang berlaku kepada isteri-isteri dalam masyarakat di Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama. Ianya bukan satu cerita rekaan yang sengaja disensasikan. Namun malangnya bagi, isteri-isteri yang mengalami episod trauma ini, nasib mereka, keselamatan mereka dan hak mereka sebagai mangsa keganasan tidak dilindungi dan tidak dibela oleh undang-undang Malaysia yang sedia ada.

Walaupun Seksyen 375 Akta Kanun Keseksaan merangkumi berkaitan jenayah rogol, namun terdapat pengecualian di mana persetubuhan seseorang lelaki dengan isterinya dalam perkahwinan yang sah di bawah mana-mana undang-undang bertulis pada masa ia berkuat kuasa atau diiktiraf dalam persekutuan sebagai sah dan tidak dianggap sebagai rogol.

Manakala di bawah seksyen 375A pula, hanya merangkumi kekerasan fizikal dan/atau menyebabkan kecederaan fizikal  dalam hubungan seksual suami isteri. Seksyen ini gagal melihat realiti kehidupan perempuan yang ditekan untuk melakukan hubungan seks menggunakan ugutan untuk dipukul atau ugutan lain-lain, atau mereka yang diberikan dadah secara senyap-senyap mahupun dengan paksaan, oleh suami sebelum dirogol tanpa keizinan isteri. Pengecualian kepada seksyen 375 dan seksyen 375A masih gagal mencakupi kesalahan rogol dalam perkahwinan secara keseluruhannya.

Cubaan untuk mengecualikan mana-mana pihak dari hukuman bagi jenayah rogol tidak boleh berlaku sekali lagi seperti cubaan untuk mengecualikan suami beragama Islam daripada hukuman bagi jenayah memukul atau mencederakan si isteri, sebelum Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 diluluskan. Sesuatu hubungan yang sah dari segi undang-undang, agama mahupun adat resam tidak patut dan tidak boleh menghalalkan kekerasan atau paksaan ke atas wanita. Agak menghampakan, apabila pihak legislatif, eksekutif mahupun golongan ilmuwan, sering mengenepikan pengalaman wanita dalam menangani sesuatu isu atau permasalahan. Sedangkan yang menghadapinya wanita, yang melalui kesan trauma juga golongan wanita tetapi isu ini dibicarakan tanpa mengambil kira realiti kehidupan isteri-isteri di Malaysia.

Pengalaman rogol dalam perkahwinan itu wujud!

Antara penyata tuntutan isteri-isteri bagi pembubaran perkahwinan atau perceraian di Mahkamah Rendah Syariah sepanjang 2005-2015 yang melibatkan keganasan seksual atau rogol oleh suami;

“kalau berlaku sedikit salah faham pihak kena tuntut selalu bertindak ganas dan memukul pihak menuntut. Seterusnya tindakan ganas pihak kena tuntut terus menjadi-jadi sehingga ke tahap yang menakutkan dan mengancam keselamatan diri pihak menuntut” “..selepas suami saya memukul saya, dia telah memaksa saya mengadakan hubungan seks..” 

“selalu bertindak ganas sehingga memukul pemohon” “apabila selisih faham, penentang sering membalas dendam dengan memaksa dan melakukan persetubuhan sehingga ke tahap di luar kemampuan serta mendatangkan kesakitan/ kemudaratan anggota pemohon..”.

“hanya mahukan kehendak batin sahaja dan menggunakan kekerasan untuk memaksa Pihak Menuntut hidup secara lucah” “..suami saya (nama suami) telah tolak saya lalu terjatuh dan tak sedar diri disebabkan dia tidak puas hati kerana saya tidak mahu tidur bersamanya..”

“selalu bergaduh dan ganas, ugut nak bunuh, nak patah-patahkan kaki dan tangan, jika duduk di rumah sendiri, maki kata anak haram, babi, dajjal dan lain-lain ikut mulut sahaja… Mendera dan memaksa melakukan persetubuhan sesuka hati tidak kira masa dan waktu walaupun pemohon dalam keadaan keuzuran (haidh)… kelakuan penentang sangat tidak bertanggungjawab, nafkah harian rumahtangga tidak diberi bahkan wang perbelanjaan untuk dirinya diminta, dan jika tidak diberi penuntut dicela, dimaki hamun dan kata nista yang sangat pedih untuk didengar”

“..beliau sering mengamuk sekiranya saya enggan melakukan persetubuhan bersama beliau… suami saya(nama suami) telah meminta untuk beliau bersama saya pada malam itu tetapi saya tidak bersetuju dan memberitahu beliau bahawa mahu merehatkan diri. Selepas itu beliau terus memaksa saya menyuruh bersama beliau dalam keadaan marah beliau mendekati saya dan menghentakkan kepala beliau di kepala saya serta menampar di bahagian mulut saya dan menumbuk di bahagian mata..”

“pihak defendan telah mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang suami dalam pemberian nafkah kepada pihak plaintif dengan tidak menyediakan wang perbelanjaan diri semenjak daripada berkahwin hinggalah ke hari ini… defendan melakukan hubungan 

kelamin dengan pihak plaintif tidak mengira waktu. Semasa plaintif berpantang melahirkan anak, pihak defendan memaksa pihak plaintif untuk melakukan hubungan kelamin… defendan sentiasa mengugut isteri dengan kata-kata yang mengancam nyawa kalau plaintif enggan mengikut kemahuannya; defendan telah membuat aniaya dan menganiayai plaintif dengan melakukan hubungan kelamin yang menyeksa emosi,perasaan dan kesihatan plaintif”

Dapatan kajian Keganasan Seksual Dalam Rumahtangga: Faktor Penyumbang Berdasarkan Kes-Kes Pembubaran Perkahwinan menunjukkan bahawa ciri-ciri keganasan seksual dalam rumahtangga yang berlaku adalah seperti diliwat, dipaksa melakukan hubungan seksual dalam pantang, ketika sakit, serta paksaan tanpa mengira waktu, keadaan dan tempat. Terdapat isteri yang dipukul sebelum atau semasa atau selepas melakukan hubungan seksual serta berlaku kekasaran lain selain pukulan dan dilemparkan dengan kata-kata kasar, keji atau kutukan semasa melakukan hubungan seksual. Terdapat juga isteri yang tidak diberi nafkah zahir tetapi didesak untuk melakukan hubungan seksual oleh suami. Dalam kajian yang sama, pengkaji telah merumuskan bahawa terdapat salah faham yang berlaku terhadap hak dan tanggungjawab dalam rumahtangga sehingga membawa kepada berlakunya keganasan seksual.

Nikah bukan lesen untuk memaksa

Naratif bahawa tiada istilah rogol atau keganasan seksual yang boleh berlaku di dalam rumahtangga hanya atas sebab “hubungan antara lelaki dan perempuan adalah dihalalkan setelah melalui akad ijab dan kabul yang sah” adalah satu naratif yang salah dan memandang rendah terhadap realiti kehidupan kebanyakan isteri-isteri di Malaysia yang terpaksa melalui situasi-situasi keganasan seksual ini. Naratif ini juga membuka ruang untuk para suami mengeksploitasi agama dan mengancam isteri apabila isteri menolak ajakan seksual suami atas faktor-faktor seperti penat dan sakit. Antara ancaman yang dilemparkan ke atas isteri ‘akan mendapat bala dari Allah’‘layak berada dalam neraka’ dan ‘merupakan hak suami dalam hal seksual’. Salah faham dalam menggunakan dalil agama ini adalah berpunca daripada kefahaman yang silap terhadap kuasa mutlak suami dalam rumahtangga serta perihal hak dan tanggungjawab seksual antara pasangan menurut Islam.

Satu fatwa yang dikeluarkan Dar Ifta’ Al-Misriyyah (Lembaga Fatwa Mesir) menyatakan seorang suami yang menggunakan kekerasan untuk memaksa isteri untuk menidurinya akan menanggung dosa, dan isterinya berhak untuk mengadu ke mahkamah. Wanita juga mempunyai hak untuk tidak melakukan hubungan seks dengan suaminya jika suaminya itu mempunyai penyakit atau menggunakan kekerasan yang menyakitinya semasa hubungan seks, menurut fatwa itu.

Perkahwinan sering dianggap kontrak seksual di antara lelaki dan perempuan semata, maka ramai berpandangan bahawa isteri atau suami wajib memenuhi kehendak pasangannya tanpa mengira keadaan dan kerelaannya sendiri. Perbuatan rogol dalam perkahwinan atau memaksa isteri mengadakan seks jelas bertentangan dengan ajaran Islam kerana suami diperintahkan supaya melayani isteri dengan baik dan penuh kasih sayang. Malah, ajaran agama mengajak Muslim melayani pasangan dengan penuh kasih sayang serta perasaan saling menghormati.

Firman Allah SWT dalam surah An Nisa’: 19,

“يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَحِلُّ لَكُمْ أَنْ تَرِثُوا النِّسَاءَ كَرْهًا ۖ وَلَا تَعْضُلُوهُنَّ لِتَذْهَبُوا بِبَعْضِ مَا آتَيْتُمُوهُنَّ إِلَّا أَنْ يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ ۚ وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا”

“Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewariskan wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka karena hendak mengambil kembali sebahagian dari apa yang telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata. Dan bergaullah dan layanilah dengan mereka secara bermartabat. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak”.

Ma’ruf yang dinyatakan dalam ayat juga bermaksud sama sekali tidak boleh memaksa isteri dalam melakukan hubungan seksual. Hubungan seksual yang maslahah antara suami isteri mestilah atas dasar saling redha meredhai. Pemaksaan dalam hubungan seksual memberi mudarat emosi, mental dan fizikal. Justeru, pemaksaan adalah jalan utama kepada keganasan seksual. Oleh sebab itu, isu keizinan dan redha dalam hubungan seksual amatlah penting difahami supaya tidak menzalimi mana-mana pihak dalam perhubungan tersebut. Dan menganggap akad nikah sebagai keizinan mutlak adalah sesuatu kesalahan dalam memahami konsep perkahwinan. Akad nikah itu adalah perjanjian untuk memberikan perlindungan, memberi kemaslahatan bersama, dan menumpah cinta dan kasih sayang kepada sesama pasangan. Jadi, pemaksaan dalam melakukan apa sahaja termasuklah berhubungan seksual menyalahi maqasid akad nikah itu dilakukan.

Masalah yang terbesar dalam menangani keganasan seksual dalam rumahtangga adalah ia dilindungi atas nama ‘seks halal’ antara suami isteri. Justeru, naratif penafian wujudnya rogol dalam rumahtangga tidak dapat membantu wanita-wanita yang mengalami kekerasan seksual dalam rumahtangga untuk mendapatkan keadilan yang sewajarnya. Oleh sebab itu, jalan pertama untuk menghentikan keganasan seksual terhadap perempuan dalam perkahwinan, semua pihak wajib mengakui rogol dalam rumahtangga itu wujud. Ini penting supaya tindakan pemaksaan dapat dicegah dan mangsa-mangsa yang mengalaminya mampu mendapatkan keadilan sewajarnya.