Rupanya ini sebab Rizman Ruzaini pilih warna hijau zaitun keemasan pada pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Olimpik
Penantian para peminat sukan serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya untuk menyaksikan rekaan pakaian rasmi kontinjen negara pada acara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 oleh duo pereka tempatan iaitu Rizman Ruzaini menemui titik noktah apabila ianya didedahkan kepada umum pada Khamis.
Pendedahan rekaan kepada umum itu dibuat oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerusi satu video berdurasi 2.46 minit yang memaparkan rekaan baju kurung dengan kelubung untuk atlet wanita serta baju melayu teluk belanga bagi atlet lelaki yang diberikan nama “The Malaya”.
Pemilihan busana baju kurung serta kelubung kerana ianya sinonim dengan wanita Malaya manakala pemilihan baju melayu teluk belanga pula sebagai tanda junjungan kasih Rizman Ruzaini kepada KDYMM Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang berasal dari Johor.
Kedua-dua busana itu dipilih dalam warna hijau zaitun dengan motif keemasan yang dilihat sesuai untuk upacara pembukaan yang dilangsungkan secara unik di sepanjang Sungai Seine pada awal pagi Sabtu nanti.
“Warna ini memberikan satu aura klasik dan di bawah pantulan cahaya ia akan memancarkan efek keemasan simbolik harapan atlet kita membawa pulang pingat emas untuk Malaysia.” jelas Rizman Nordin.
“Ia bagaikan melihat sebutir berlian yang digilap berkilau, kemudiannya diikat dengan emas, dijadikan cincin di jari,” tambah Wan Mohd. Ruzaini.
Menambahkan seri busana itu lagi, ianya turut dihiasi dengan cetakan motif songket sebagai pengiktirafan Rizman Ruzaini ke atas atlet-atlet negara.
“Songket mempunyai nilai sejarah yang tinggi sebagai fabrik warisan agung turun temurun, kehalusan tenungan dan kerumutan motif songket menggambarkan pangkat dan kedudukan golongan bangsawan, “ ujar Rizman.
Manakala skaf yang dicipta untuk atlet wanita pula ditaburkan dengan corak nukilan khas tentang Malaysia seperti tarikh kemerdekaan, Hari Kebangsaan, tekad perpaduan penuhi harapan, negaraku malaysia dan merdeka
Tambah duo pereka itu lagi, koleksi “The Malaya” ini juga merupakan satu penghormatan, dedikasi dan aspirasi buat perwira negara seperti Dato’ Maharajalela, Dol Said, Yamtuan Antah, Tok Janggut, Dato Bahaman, Mat Kilau dan Tunku Abdul Rahman.