Sahabat, hari ini ulang tahun kelahiranmu, kamu adalah insan luar biasa dan istimewa kepada ramai orang – Hannah Yeoh
Hari ini merupakan ulang tahun kelahiran mantan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam mengenang Allahyarham Salahuddin berkata, sekiranya sahabatnya itu masih hidup, usianya kini 62 tahun.
“Sahabat, hari ini ulang tahun kelahiran kamu. Kamu sepatutnya berusia 62 tahun hari ini. Mengapa kehilangan ini masih memeritkan? Mengapa kami masih sukar untuk melupakan?
“Kerana Salahuddin, kamu adalah insan luar biasa dan istimewa kepada ramai orang. Sudah tentu saya sedang membuat kek untuk kamu hari ini sekiranya..,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Hannah Yeoh berkata, ulang tahun kelahiran Allahyarham Salahuddin hari ini bukan sesuatu yang mengembirakan kerana insan itu sudah tiada meskipun beliau masih dirindui dan tidak dilupakan.
Salahuddin disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 9.23 malam di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, Kedah pada 23 Julai lalu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai, Johor selama dua penggal meninggal dunia pada jam 9.23 malam ketika masih dalam Unit Rawatan Rapi HSB.
Salahuddin dikejarkan ke Jabatan Kecemasan HSB untuk rawatan kecemasan selepas mengalami mual dan muntah-muntah.
Pemeriksaan doktor pakar mengesahkan Salahuddin mengalami pendarahan otak dan menjalani pembedahan.
Jenazahnya selamat dikebumikan pada pukul 12.05 tengah hari di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat, Pontian, Johor pada 24 Julai 2023.