“Saya jatuh cinta dengan Langkawi” – Sofia Ellen bersama suami bahagia tinggal di Langkawi

“Saya jatuh cinta dengan Langkawi” – Sofia Ellen bersama suami bahagia tinggal di Langkawi

 

“Saya jatuh cinta dengan Pulau Langkawi dan suka tinggal di sini, malah penduduk juga peramah serta mesra. Saya juga anggap Malaysia seperti negara sendiri, namun Finland tetap di hati,” kata wanita warga Finland, Sofia Ellen Kinnunen, 25.

Walaupun berbeza bahasa dan budaya, ia tidak menghalang Sofia meninggalkan tanah air dan menjalani kehidupan baru di kampung halaman suami, Mohd Yusri Zinon, 35, di Jalan Bukit Lembu di sini, sejak lima tahun lalu.

Lebih mengujakan apabila ibu dua anak lelaki itu juga boleh bercakap Bahasa Melayu dialek Kedah biarpun belum fasih sepenuhnya.

Sofia berkata, dia nekad berhijrah ke negara ini untuk tinggal bersama suami, Mohd Yusri yang menjalankan perniagaan aktiviti laut di Pantai Chenang di sini dan mengakui kehidupan di kampung dan pulau jauh berbeza dengan tinggal di bandar kecil di negara asal.

Bagaimanapun, katanya, semua itu tidak menghalangnya ‘menyelami’ budaya dan kehidupan baharu di pulau berkenaan, malah menganggap ia cabaran untuknya termasuk belajar bahasa kebangsaan Malaysia.

“Saya tidak terlalu fasih bercakap bahasa Melayu dan sekarang masih belajar menguasainya. Saya belajar melalui suami dan selalu dengar orang bercakap dan tulis, kalau tak faham saya tanya suami. Mula-mula dahulu suami ajar ini bawang putih, ini bawang merah (selain ayat ringkas lain).

“Sebagai warga asing yang berkahwin dengan rakyat negara ini saya fikir memang wajar saya mempelajari Bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan keluarga mentua dan penduduk kampung,” katanya.

Anak sulung daripada 10 beradik itu turut menyifatkan dirinya seorang yang suka belajar bahasa asing termasuk bahasa Jerman dan Sweden biarpun secara tidak formal.

“Saya suka bercakap bahasa Melayu dan Tiktok menjadi platform saya mengasah kemahiran bahasa selain dapat membantu (perniagaan) suami.

Sebenarnya saya segan apabila orang memuji (selepas video mendapat perhatian) kerana kami orang biasa saja,” katanya mengakui kedua-dua keluarga menerima mereka dengan baik.

Sementara itu, Mohd Yusri berkata, dia tidak terlalu memaksa isteri belajar bahasa Melayu dan mahu ia dilakukan dengan kemahuan sendiri, namun gembira wanita itu berusaha belajar termasuk menjalani kehidupan di pulau bersamanya.

Mengimbas detik pertemuan mereka, dia yang juga beach boy itu berkata, mereka berkenalan sejak Februari 2018 ketika Sofia bercuti ke Langkawi bersama rakan selepas tamat belajar sebelum menjalani hubungan lebih serius yang berkahir ke jenjang perkahwinan pada Disember 2019.

“Susah juga mahu ‘tawan’ hati isteri dan sepanjang berkawan timbul rasa saling suka cuma isteri tidak meluahkan dahulu. Kami adakan majlis resepsi pada 2020 yang turut dihadiri keluarga isteri (dari Finland).

“Saya gembira melihat isteri belajar bahasa Melayu dan anak kami boleh cakap (dan memahami)bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan Finnish (bahasa Finland). Pengorbanan isteri yang sanggup tinggalkan keluarga dan negara yang ribuan kilometer (km) memang sangat dihargai,” kata pemilik YBZ Water Sports itu.

Terdahulu, pasangan berkenaan mendapat perhatian di Tiktok dan usaha Sofia bercakap dalam bahasa Melayu mendapat pujian netizen.