“Saya tak nak dengar anak saya kena marah atau denda..” – Penjaga tiada adab, mesej sindir guru dalam grup WhatsApp waktu malam
Berbeza dengan zaman dulu, ibu bapa sekarang lebih mudah untuk berkomunikasi dengan guru perihal anak-anak mereka dengan hanya menggunakan aplikasi WhatsApp.
Namun Group WhatsApp ini sering dijadikan medan untuk ibu bapa mengeluarkan pelbagai persoalan yang tidak sepatutnya sehingga membebankan para pendidik. Malah, ada yang bersikap keterlaluan sehingga mencetuskan ketegangan dalam Group WhatsApp.
Seorang guru dikenali sebagai Mohd Fadli Salleh berkongsi beberapa tangkap layar mesej Group WhatsApp kelas, memaparkan seorang penjaga yang bersikap biadab ketika bertanyakan soalan kepada seorang guru.
“Assalamualaikum cikgu. Saya nak tanya, buku tulisan BM1 dan BM2 tak ada kat anak saya. Cikgu ada ambil ke?
“Saya harap cikgu ada tangan nak balas pertanyaan saya ni,” tulis penjaga berkenaan yang menghantar mesej pada waktu malam.
Namun, sindirannya itu telah mendapat teguran daripada penjaga lain yang merasakan ayat yang digunakan penjaga terbabit sangat tidak beradab.
Dapat dilihat menerusi tangkap layar Group WhatsApp itu, penjaga lain tampil mengingatkan supaya menjaga adab.
Tidak mahu terus bertikam lidah, penjaga tersebut segera mengakhiri perbualannya namun sempat memberi amaran kepada guru kelas.
Melihat perbualan mesej itu, Cikgu Fadli turut mengakui terdapat segelintir ibu bapa atau penjaga yang sememangnya bersikap biadab sebegitu.
“Amboi. Sombongnya kamu. Kamu ingat kamu siapa? Pergi buka sekolah sendiri, ajar anak sendirilah,” tulisnya.
Dalam pada itu, dia turut memuji tindakan ibu bapa yang menyebelahi guru berkenaan dan berani menegur penjaga terbabit.