Segerakan keputusan siasatan tiga MP PKR yang lompat, desak Pemuda Umno Kelantan
Pemuda UMNO Kelantan mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan menyeluruh kepada tiga Ahli Parlimen PKR yang lompat parti baru-baru ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, budaya lompat parti mencemarkan nama baik kerajaan seolah-olah boleh menerima sesiapa sahaja yang bermasalah.
“Kita tidak mahu budaya ini memburukkan nama kerajaan, bagaikan menerima apa sahaja asalkan mendapat sokongan balas dalam undian di Dewan Rakyat.
“SPRM perlu menyiasat tiga individu tersebut iaitu Ahli Parlimen Kuala Langat, Xavier Jayakumar, Ahli Parlimen Parlimen Julau, Sarawak, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Menurutnya, pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang banyak menceritakan perihal dalaman kerajaan Perikatan Nasional (PN) seolah-olah menggunakan pelbagai cara untuk mengekalkan kuasa mereka.
Katanya, dakwaan itu amat serius kerana dimaklumkan pemimpin tertinggi Polis Diraja Malaysia.
“Ini secara tidak langsung menggugat fungsi sebenar PDRM yang sepatutnya menjaga keamanan negara tetapi dakwaan ini rakyat berasa tidak selamat dan negara akan berhadapan kucar kacir.
“Kami menyokong penuh pendapat Ketua Pemuda kami, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya siasatan segera dilakukan tanpa mengira pangkat dan darjat,” katanya. – AA