“Selama ini saya sudah banyak buang masa. Saya tak mahu lakukan benda sama lagi” – Puteri Sarah luah hasrat enggan lagi kongsi kisah Syamsul Yusof
Pelakon cantik, Puteri Sarah memilih untuk tidak lagi bercakap soal kemelut rumah tangganya dengan pengarah Syamsul Yusof dan menyerahkan semua keputusan kepada pihak mahkamah.
Puteri Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaluddin, 38, berkata, dia mengambil pendekatan itu kerana merasakan sudah membuang terlalu banyak masa berbicara mengenainya.
Jelasnya, dia tidak mahu membuang tenaga untuk perkara negatif sebaliknya mahu fokus kepada karier seninya.
“Bab hidup saya tentang soal peribadi itu sudah saya tutup. Saya mahu teruskan hidup dan fly high.
Kemelut rumah tangga pasangan ini masih belum selesai.
“Selama ini saya sudah banyak buang masa. Saya tak mahu lakukan benda sama lagi. Cukuplah saya luahkan seperti dalam video sebelum ini,” katanya kepada mStar.
Puteri Sarah ditemui ketika sidang media pelancaran drama terbaharu lakonannya berjudul Hijrah Jannah yang berlangsung pada petang Rabu.
Diminta mengulas tentang prosiding Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang bakal berlangsung pada Khamis, Puteri Sarah memberitahu dia berharap semuanya berjalan lancar.
“Sama seperti doa-doa saya sebelum ini. Saya harap semua berjalan lancar, itu sahaja. Segalanya terserah kepada mahkamah,” ujarnya.
Sementara itu, pelakon ini berkata, dia lebih suka dengan jadual kerjanya yang padat supaya perhatiannya tidak lagi tertumpu kepada masalah rumah tangga.
Puteri Sarah bakal ke Jakarta bagi menjalani penggambaran filem.
Malah katanya, sejurus selepas prosiding mahkamah esok, dia akan terbang ke Jakarta, Indonesia bagi menjayakan penggambaran sebuah filem.
“Sibuk itu bagus bukan? Saya nak move on.
“Selepas prosiding mahkamah esok, saya akan terus terbang ke Jakarta atas tujuan kerja. Saya akan berlakon dalam sebuah filem di sana,” ujarnya.
Sumber – Mstar