Selepas barangan keperluan, rakyat diarah bersiap sedia dengan kenaikan harga elektrik pula

Selepas barangan keperluan, rakyat diarah bersiap sedia dengan kenaikan harga elektrik pula

Rakyat semakin tertekan dengan kenaikan pelbagai harga barangan pasca PKP. Menteri yang dipertanggungjawabkan menjaga sektor melibatkan kepenggunaan dan pertanian ketika ini masing-masing memberi jawapan yang sangkat menyakitkan hati.

Menteri KPDNHEP, Alexander Nanta Linggi ketika diasak wartawan dengan soalan kenaikan harga barang ini menjawab isu tersebut tidak serius dan harga barangan masih normal.

Manakala jawapan yabg diberikan Timbalan Menteri Pertanian, Nik Zawawi lebih kelakar apabila membandingkan kenaikan barangan negara ini dengan negara arab.

Terkini, akhbar Bernama melaporkan isu terkini bersangkutan dengan harga bahan api yang mulai melambung tinggi sekarang ini.

Dalam laporannya, harga bahan api yang tidak menentu dalam pasaran tenaga bukanlah isu yang hanya memberi impak kepada satu negara; ia adalah isu global.

Sektor itu kini menghadapi krisis apabila permintaan untuk komoditi tenaga melebihi penawaran dan menyebabkan turun naik dari segi harga, dengan harga semerta global untuk gas asli dan arang batu mencapai paras tertinggi pada tahun ini.

Pada 28 Sept lepas, harga minyak mentah mencatatkan kenaikan dengan melepasi paras US$80 setong dan kemudian terus meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun sebanyak US$83 setong pada 13 Oktober, sebelum merosot kepada US$70 setong pada Disember. (US$1=RM4.22)

Krisis tenaga yang melanda dua negara utama Asia, China dan India, menyebabkan kekurangan tenaga dan meningkatkan harga pasaran arang batu. Harga arang batu mencapai paras tertinggi dalam sejarah sehingga US$270 satu tan metrik pada Oktober 2021.

Terdapat beberapa faktor yang menjadi penyumbang, tetapi punca utama ialah pertumbuhan pesat China, permintaan terhadap tenaga yang tinggi dan kekurangan bekalan arang batu.

Minat ekonomi kedua terbesar dunia itu terhadap tenaga sentiasa menjadi pemacu utama harga pasaran global. Peningkatan ekonominya selepas COVID-19 selaras dengan peningkatan permintaan di Asia dan Eropah.

Apabila ekonomi mula pulih, negara-negara yang mengalami musim sejuk yang panjang yang menyebabkan paras simpanan gas berkurangan, bergelut untuk mendapatkan lebih banyak bekalan, menambah impak kepada bahan api dan elektrik di seluruh dunia.

Menurut laporan berita Bloomberg, beberapa utiliti di China belum selesai menambah bekalan dan menegaskan hanya terdapat bekalan yang terhad.

Sementara itu, beberapa sektor perindustrian yang merupakan pengguna tenaga yang besar terus mengalami pengurangan bekalan tenaga atau mereka akan menghadapi kos elektrik yang lebih tinggi.

MENDAPATKAN STOK BAHAN API

China, pengguna arang batu utama dunia, berkata ia akan memperluas perolehan arang batu pada sebarang harga untuk memastikan pemanasan dan penjanaan tenaga pada musim sejuk. Oleh itu, langkah ini menyebabkan kekurangan bahan api untuk saingan yang memerlukan tenaga.

Lazimnya, China membeli hampir semua bekalan arang batunya daripada pengeluar di Asia, tetapi disebabkan pertikaian politik, negara itu meningkatkan import arang batu daripada beberapa pembekal utama di Asia Selatan dan Eropah.

Pada masa sama, Eropah turut berusaha untuk menguasai penghantaran dari Asia manakala pengimport di Eropah Timur membeli bekalan dari Australia, dan ini dianggap langkah yang jarang dilakukan sekali gus membuktikan negara-negara berkenaan terdesak untuk mendapatkan arang batu.

Menurut Bloomberg, bekalan arang batu global telah mengalami penyusutan dan berlaku kekurangan arang batu di beberapa pasaran kerana pengeluar arang batu utama, Colombia dan Indonesia, bergelut dengan cuaca hujan lebat, manakala lombong di wilayah lain ditutup ekoran pandemik.

Bagaimanapun, campur tangan daripada pihak berkuasa China untuk meningkatkan pengeluaran arang batu domestik dan mengehadkan harga domestik telah memberi tekanan negatif ke atas harga arang batu.

HARGA ELEKTRIK LEBIH TINGGI

Kos komoditi seperti minyak, arang batu dan gas asli memberi kesan besar terhadap kos penjanaan elektrik.

Berikutan kekurangan bekalan, ia mewujudkan impak tidak langsung ke atas tarif elektrik.

Singapura, yang bergantung kepada gas asli yang diimport untuk hampir semua pengeluaran elektriknya dan amat terdedah kepada kejutan bekalan dan permintaan global, telah mula menaikkan harga elektrik sejak April 2021.

Ini terutama disebabkan kos bahan api yang lebih tinggi untuk menghasilkan elektrik melalui syarikat penjanaan tenaga.

Menurut The Straits Times, tarif elektrik Singapura disemak pada setiap suku tahun berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh pengawal selia industri elektrik, Penguasa Pasaran Tenaga (EMA).

Mulai April hingga Jun, tarif untuk isi rumah meningkat 8.7 peratus manakala Julai hingga September 3.8 peratus, dan Oktober hingga Disember 3.1 peratus.

Menteri Tenaga Manusia Singapura, Tan See Leng, juga mengingatkan mengenai kenaikan harga elektrik pada 2022 dalam keadaan ‘pergolakan yang belum pernah berlaku’ dalam pasaran tenaga.

Harga elektrik di Sepanyol dan Bulgaria serta negara lain di Eropah berada pada paras tinggi disebabkan kenaikan harga bahan api.

Justeru, untuk melindungi pengguna, kerajaan Kesatuan Eropah (EU) telah bertindak mengurangkan kenaikan harga elektrik dengan menawarkan subsidi, pemotongan cukai dan geran.

Sepanyol merupakan antara negara pertama yang memperkenalkan langkah membantu pelanggan.

Kerajaan haluan kiri Sepanyol telah bersetuju terhadap langkah kecemasan untuk mengurangkan bil tenaga yang semakin meningkat susulan harga elektrik meningkat ke paras tertinggi.

Cukai elektrik dipotong buat sementara waktu daripada 5.1 peratus kepada minimum 0.5 peratus yang dibenarkan mengikut peraturan EU manakala Cukai Nilai Tambah (VAT) ke atas bil telahpun dikurangkan pada Julai 2021.

Di Bulgaria, harga tenaga telah melonjak sebanyak 72 peratus sejak awal tahun yang disusuli dengan tindakan kerajaannya mengemukakan cadangan memperkenalkan subsidi bagi mengurangkan tekanan harga tersebut.

Sementara itu, di Malaysia, kos bahan api dan penjanaannya merangkumi 70 peratus daripada keseluruhan kos tarif yang dibayar oleh pelanggan utiliti nasional, Tenaga Nasional Bhd (TNB) manakala baki 30 peratus pula sebahagian besarnya melibatkan kos operasi dan penyelenggaraan.

Malah, tarif elektrik domestik Malaysia juga adalah antara yang terendah di dunia.

Sehubungan itu, perubahan tarif elektrik adalah di luar kawalan TNB mahu pun kerajaan memandangkan tarif tersebut sememangnya amat terdedah kepada ketidaktentuan harga bahan api global seperti bagi arang batu dan gas asli.

INISIATIF ICPT

Bagaimanapun, keadaan itu sebaliknya ditangani oleh mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) di bawah Suruhanjaya Tenaga yang membolehkan rangka kerja elektrik negara kekal fleksibel dan mampan selain membantu TNB membuat unjuran permintaan dan kos pengeluaran tenaga di masa depan.

Pelaksanaan IBR itu termasuk komponen fleksibel menerusi amalan Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang membolehkan pengeluar atau pihak penjana tenaga melaksanakan tarif sebagai reaksi terhadap harga bahan api global, sekali gus menjadikan pengeluaran elektrik yang lebih berdaya tahan dari segi ekonomi terhadap ketidaktentuan harga minyak.

Pada masa ini, purata asas tarif telah dikekalkan pada 39.45 sen bagi setiap kilowatt-jam sehingga 31 Dis, 2021.

Oleh itu, semakan semula tarif dan pelaksanaan Tempoh Regulatori Ketiga (RP3 2021-2023) IBR akan tertangguh selama setahun dan dijangka dilaksanakan dari 1 Jan, 2022 hingga 31 Dis, 2024.

Komponen bahan api dan penjanaan daripada tarif itu merupakan sesuatu yang tidak dapat dikawal dan tertakluk kepada semakan semula ICPT bagi tempoh setiap enam bulan.

Menurut TNB, bagi tempoh Jan-Jun 2021, terdapat peningkatan kecil harga purata arang batu yang dihantar ke sektor tenaga iaitu antara US$79.20 hingga US$92 satu tan berbanding harga penanda aras bahan berkenaan pada US$75 satu tan.