Selepas ramai pegawainya ditahan SPRM, JPJ guna rakaman video media sosial saman pesalah jalanraya
“Sekarang ramai rakam video menaiki kenderaan sebagai kandungan di media sosial. Tapi kalau langgar undang-undang, ia jadi bukti kepada kami untuk ambil tindakan,” kata Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Zulkarnain Yasin.
Beliau berkata demikian ketika mengulas saman dikeluarkan terhadap Instafamous dari Dungun yang melanggar peraturan jalan raya ketika merakam aksi menunggang RX-Z di media sosial baru-baru ini.
Video berdurasi 14 saat itu memaparkan wanita berkenaan yang berpakaian baju kebaya merah mempamerkan kecekapannya menunggang RX-Z di Kampung Bukit Merah, Padang Pulut, Dungun.
Zulkarnain berkata, pihaknya sudah memanggil wanita berkenaan dan dia mengakui kesilapannya iaitu tidak memakai topi keledar dan gagal mempamerkan nombor pendaftaran hadapan motosikal.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 14 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM300 dan tidak melebihi RM3,000.
“Kes akan dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan jalan raya.
“Jika kami menerima laporan bergambar atau video berkaitan kesalahan jalan raya seperti tidak memakai topi keledar atau memaparkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan, kami akan menjalankan siasatan.
“Walaupun video dan bukti itu daripada media sosial peribadi, tindakan akan diambil ke atas pemilik kenderaan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya mempunyai kaedah tersendiri untuk memantau kesalahan dilakukan pengguna jalan raya di media sosial. – HM