Selepas Umno, AMANAH pula lobi kerusi Kuala Kangsar & Bukit Gantang
Lobi-melobi untuk kerusi pilihan raya kecil sudah bermula, ketika speaker parlimen dijangka membuat keputusan tidak lama lagi.
Hari ini Pemuda Amanah Perak pula berkata mereka sedia menggalas “tugas berat” merampas dua kerusi kawasan di negeri itu–Kuala Kangsar dan Bukit Gantang.
Speaker Johari Abdul setakat ini belum memutuskan sama ada kerusi itu akan kosong, disusuli pilihan raya kecil, susulan tindakan penyandangnya dari Bersatu yang mengalihkan sokongan kepada pihak kerajaan.
Ketua Pemuda Amanah Perak Khairol Najib Hashim berkata selain kesediaan daripada segi calon, pihaknya juga akan memastikan semua jentera memastikan kemenangan buat parti kerajaan.
“Pemuda Amanah Perak yakin kepimpinan Pakatan Harapan (PH) akan menilai keputusan sebelum ini untuk memberikan peluang kepada Amanah meletakkan calon yang benar-benar mampu memberikan kemenangan kepada PH untuk memastikan peningkatan sokongan di parlimen kelak,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Pemuda Umno Malaysia turut menyatakan kesediaan mereka untuk “merampas” enam kerusi parlimen yang berdepan situasi sama, termasuk Kuala Kangsar, Bukit Gantang.
Lebih dua minggu lalu, Bersatu menyerahkan notis pemakluman kekosongan kerusi membabitkan enam anggota parlimen mereka kepada pejabat speaker.
Sebelum ini, tujuh wakil rakyat Bersatu digugurkan keahlian serta-merta selepas gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.
Enam wakil rakyat itu membabitkan anggota parlimen iaitu Syed Abu Hussin (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Seorang lagi wakil rakyat yang turut digugurkan keahlian adalah anggota Dewan Undangan Negeri Selat Klang, Abdul Rashid Asari.