Semua yang hadir mesyuarat kabinet perlu dikuarantin, kata Najib

Semua yang hadir mesyuarat kabinet perlu dikuarantin, kata Najib

Semua pihak yang hadir dalam mesyuarat kabinet pada 6 Januari dan mesyuarat kepimpinan pusat Bersatu sehari selepas itu harus menjalani kuarantin sehingga 17 Januari, kata Najib Razak.

Bekas perdana menteri berkata, langkah itu harus diambil susulan tempoh inkubasi Covid adalah antara 10 hingga 14 hari.

“KKM (Kementerian Kesihatan) perlu pastikan mereka tidak dibenarkan hadir dalam apa-apa acara awam atau bermesyuarat secara fizikal dalam tempoh ini.

“Pastikan tiada double-standards (pilih kasih),” kata anggota parlimen Pekan.

Menulis di media sosialnya, Najib mengingatkan tindakan itu harus diambil bagi mengelakkan “kluster kabinet”.

Tanpa mendedahkan nama, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba hari ini mengesahkan tiga anggota kabinet dijangkiti Covid-19.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun disahkan positif selepas Menteri di JPM (Ekonomi) Mustapa Mohamed mendapat jangkitan Covid-19 tiga hari lalu.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin disahkan positif Covid-19 setelah mendapat keputusan ujian saringan semalam.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/558618