Sesi persekolahan: Polisi kluk klek kerajaan dimarahi rakyat!

Sesi persekolahan: Polisi kluk klek kerajaan dimarahi rakyat!

Sepatutnya pengumuman tangguh sesi persekolahan perlu dibuat lebih awal oleh KPM.

Tetapi lagi 3 hari sekolah nak mula baru KPM buat pengumuman begini.

Aku rasa ibu bapa boleh terima jika sesi persekolahan terpaksa ditangguhkan kalau alasannya kerana bimbang dengan penularan kes Covid-19 yang semakin meningkat. Tetapi buatlah pengumuman lebih awal.

Namun apabila diumum di saat-saat akhir, pasti ramai yang marah dan kecewa.

Kesian kepada keluarga yang bersusah payah sediakan kelengkapan sekolah anak-anak. Sudahlah ramai yang terkesan sebab ekonomi terjejas teruk, tiba-tiba dapat pula pengumuman sekolah ditangguhkan pada saat akhir.

Kalau KPM umum lebih awal, mungkin duit beli keperluan sekolah anak-anak boleh disimpan dulu atau dibelanjakan untuk perkara-perkara lain yang lebih utama dan mendesak?

Tengahari tadi aku baru saja beli baju sekolah agama rakyat dua orang anak aku. Aku lebih cenderung untuk tunggu dulu sebab bimbang sekolah akan ditangguhkan tetapi isteri aku cadangkan kami beli juga hari ini sebab takut tidak sempat nak beli hari lain.

Di pasar raya tadi pun sesak ibu bapa beli keperluan sekolah anak-anak kerana semua menyangka sekolah mesti akan dibuka pada 20 Januari ini. Iyalah, tinggal berapa hari saja lagi kan? Alih-alih dapat berita sekolah tangguh.

Bila sekolah ditangguh, banyak perkara yang telah disusun dulu terpaksa disusun semula oleh ibu bapa terutamanya jika kedua-duanya bekerja.

Pengurusan masa antara suami dan isteri perlu disusun semula, pengurusan penjagaan anak-anak juga perlu dibuat dan mereka juga terpaksa fikir bagaimana nak urus pembelajaran anak-anak secara atas talian semasa mereka bekerja.

Kalau anak mereka sudah besar, ibu bapa mungkin boleh tutup sebelah mata. Tetapi bagaimana dengan anak-anak yang baru masuk darjah 1, 2 atau 3? Siapa yang nak uruskan pembelajaran atas talian mereka? Dengan pengumuman last minute begini, ia sangat membebankan dan menyusahkan mereka.

Aku dengar ada juga pelajar asrama sudah kembali ke asrama. Bayangkan apa perasaan pelajar tersebut dan ibu bapa mereka bila KPM umum sekolah ditangguhkan?

KPM kata pelajar asrama yang telah pulang ke asrama boleh kekal di asrama dan mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara atas talian. Inilah polisi yang flip flop dan lepas tangan dari kerajaan.

Aku yakin ramai ibu bapa juga mahu anak-anak mereka pulang semula ke rumah dan mengikuti pembelajaran secara atas talian saja di rumah dari terus kekal di asrama.

Bila jadi begini, ada ke pengusaha kantin asrama sanggup nak beroperasi jika jumlah pelajar kekal di asrama tidak ramai? Justeru, apa pula akan jadi dengan pelajar yang kekal di asrama? Ada KPM fikir masalah ini atau berbincang dengan pengusaha-pengusaha kantin?

Aku tidak yakin ada Ibu bapa yang sanggup biarkan anak-anak mereka kekal di asrama jika makan minum dan kebajikan anak-anak mereka di asrama tidak menentu.

Keadaan seperti ini bukanlah kali pertama belaku kepada para pelajar dan ibu bapa disebabkan oleh keputusan flip flop kerajaan tetapi mengapa masih ulang lagi kesilapan yang sama?

Sudah-sudahlah menyusahkan rakyat. Berapa kali lagi rakyat perlu dibebankan dengan polisi flip-flop kerajaan macam ni?

Berita penuh: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10158485773668101&id=764123100