Setelah viral sampai ke Jepun, De Fam sasar ‘Alamak Raya Lagi’ ditonton 20 juta kali

Setelah viral sampai ke Jepun, De Fam sasar ‘Alamak Raya Lagi’ ditonton 20 juta kali

 

MENCETUS fenomena hingga ke Korea Selatan dan Jepun, single kumpulan De Fam ‘Alamak Raya Lagi’ mendapat sambutan positif dan luar jangka.

Mana tidaknya, dalam tempoh singkat lagu itu meledak selepas cabaran tarian ‘Alamak Raya Lagi’ memenuhi semua sudut di platform media sosial.

Salah seorang anggota kumpulan De Fam, Azira Shafinaz berterima kasih kepada pendengar yang menyukai lagu raya pertama mereka itu.

“Kami terkejut kerana kami tidak buat penggalak (boost) lagi di media sosial.

“Jadi, hebahan ‘Alamak Raya Lagi’ berlaku secara semula jadi melalui perkongsian demi perkongsian.

“Sudah tentu kami terkejut apabila lagi itu boleh tular hingga ke Jepun, malah cabaran tarian pula dibuat oleh kumpulan wanita K-Pop.

“Kami betul-betul terharu dengan penerimaan positif ini,” katanya.

Dia bagaimanapun mengakui masih terdapat maklum balas negatif apabila segelintir pihak berpendapat ‘Alamak Raya Lagi’ membawa aura tidak baik dengan penggunaan perkataan alamak itu.

Azira, 32, menjelaskan lagu itu sepatutnya diterbitkan tahun lalu kerana mengambil inspirasi sempena perayaan ‘raya terkejut’ yang berlaku, namun atas sebab beberapa masalah ia ditangguhkan.

“Saya faham perkataan alamak itu timbulkan pertikaian kerana orang jadi salah tafsir dengan lagu ini.

“Sebenarnya alamak bukan bermaksud tidak seronok beraya.

“Kalau diamati lirik lagu tersebut, kebanyakan situasi sama seperti malam raya terkejut beberapa tahun lalu.

“Harapan kami, pendengar boleh dengar lagu raya yang santai,” katanya yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaru lakonannya – Sheriff: Narko Integriti – di Kuala Lumpur kelmarin.

Lagu itu menggambarkan suasana kecoh menjelang Aidilfitri yang diinspirasi daripada ‘raya terkejut’ pada 2022.

Ketika itu, persiapan raya dilakukan dalam waktu yang singkat.

Setakat petang tadi, semakan Malaysiakini mendapati ‘Alamak Raya Lagi’ sudah meraih lebih 16 juta tontonan di YouTube.

Untuk rekod, selain Azira, De Fam turut dianggotai oleh Cik Manggis dan Sophia Liana.

Sekiranya lagu itu meraih lebih 20 juta tontonan, kata Azira, ada khabar berita gembira buat peminat De Fam.

“De Fam rancang nak buat rumah terbuka kalau lagu itu dapat lebih 20 juta tontonan.

“Doakan ia jadi kenyataan,” katanya.